Anak Beranak Ditangkap Terlibat Sindiket Dadah Di Sembulan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Enam sekeluarga yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah berjaya ditangkap dalam satu serbuan yang dilakukan di Kampung Sembulan pada Khamis.

Serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu itu dilakukan pada 12.30 tengahari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua suspek ini adalah warga tempatan yang terdiri daripada sepasang suami isteri, dua anak lelaki, anak perempuan serta menantu yang berusia antara 20 hingga 66 tahun.

Kesemua mereka ditahan bersama enam paket syabu seberat 67.80 gram dalam satu plastik hitam yang disembunyikan di bawah pecahan jubin rumah mereka di Kg Sembulan.

Beliau berkata, semakan rekod kesalahan lampau, dua suspek mempunyai rekod dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua suspek turut didapati positif dadah dan selebihnya negatif.

Dalam serbuan berasingan, pada 7.35 malam bertempat di kawasan Flat Perumahan, Kampung Sembulan Tengah, seorang lagi warga tempatan berusia 37 tahun ditangkap bersama sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek disyaki digunakan untuk tujuan pengedaran dadah.

Habibi berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan serbuan di dalam kenderaan jenis Toyota Vios tersebut, telah menjumpai tiga paket syabu seberat 150.36 gram yang disembunyikan di bawah lapisan karpet bonet belakang kenderaan.

“Semakan rekod lampau didapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan hasil ujian urin suspek juga negatif.

“Keseluruhan jumlah rampasan dadah jenis syabu dalam dua serbuan berasingan ini adalah seberat 218.16 gram dianggarkan bernilai RM21,816 mengikut harga pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal pihak polis juga mendapati, kesemua suspek yang diberkas dalam serbuan berasingan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dan penjualan dadah di sekitar Kota Kinabalu.

Bekalan dadah yang diperolehi akan dibungkus dalam kuantiti yang lebih kecil untuk dijual kepada penagih bagi mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Kesemua suspek kini direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.