Ambil Tindakan Tegas Ke atas Portal ‘Sabahkini’, tuduh 6 ADUN Warisan Sokong Hajiji Noor – Azhar

KOTA KINABALU : Polis perlu mengambil tegas terhadap pemilik Portal Online ‘Sabahkini’ selepas menyiarkan artikel berunsur fitnah yang menuduh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan menandatangani dokumen Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Hajiji Noor.

ADUN Darau, Azhar Matussin berkata, kejadian ini bukan kali pertama berlaku namun portal Sabahkini masih menyiarkan artikel berunsur fitnah.

Beliau bersama enam ADUN menafikan ada menandatangani SD untuk meninggalkan Parti Warisan dalam tempoh terdekat.

“Saya bersama 5 ADUN Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); Assaffal Alian (Tungku); Norazlinah Arif (Kunak); Dr Daud Yusof (Bongawan) dan Mohamad Mohammarin (Banggi), tidak pernah menurunkan tandatangan SD atau terlibat menyokong Hajiji Noor seperti dalam laporan portal ‘SabahKini’,” katanya dalam kenyataan media.

Azhar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan berkata, pihak polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan perkhidmatan portal online ‘Sabahkini’.

“Laporan portal ini sangat tidak bertanggungjawab dan dengan sengaja menabur fitnah bagi mengelirukan rakyat agar percaya enam ADUN Warisan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Azhar berkata, beliau mewakili semua ADUN Warisan mengulangi pendirian berdiri teguh di belakang kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan kekal menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020 lalu.