Ambil Tindakan Ke Atas Kenaikan Harga Minyak Masak Yang Tidak Munasabah

JANNIE LASIMBANG

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan untuk menurunkan kenaikan mendadak harga minyak masak yang telah naik mengejutkan lebih RM30 untuk botol 5kg.

“Rakyat Malaysia sudah tertekan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dan kehilangan pendapatan, dan kini mereka dibebani kenaikan harga minyak masak secara tiba-tiba dan tidak munasabah semasa wabak ini.  Kenaikan harga ini tidak munasabah atau boleh diterima” Jannie Lasimbang, ADUN Kapayan berkata.

Semasa wabak COVID-19 ini, kerajaan harus memberi subsidi harga minyak masak dan melindungi daripada sebarang kenaikan harga barangan asas lain yang akan membebankan rakyat.

“Saya telah berbincang dengan beberapa pemilik kedai runcit, dan mereka merungut bahawa kos minyak masak sememangnya telah meningkat kira-kira 2 hingga 3 kali dalam beberapa bulan yang lalu, dan peniaga kini telah diberi notis oleh pembekal mereka bahawa harga akan naik lagi bulan ini” tambah Jannie.

Jannie juga menggesa kedua-dua kerajaan persekutuan dan GRS untuk sentiasa memantau harga minyak masak sebagai barang kawalan serta harga barangan asas lain supaya rakyat tidak terus menderita semasa krisis ekonomi ini.