Ambil Pendekatan Inklusif Selesai Isu Empangan Papar

DARELL LEIKING

Oleh SURAIDAH ROSLAN & RODELIO J TAUCAN
PENAMPANG: Ahli Parlimen (MP) Penampang Datuk Darell Leiking kekal dengan pendirian tidak mahu seinci pun tanah di kawasan Penampang terlibat dalam pembinaan Empangan Papar.

Setiausaha Politik kepada MP Penampang Pritchard Sebastian Gumbaris berkata, itu pendirian yang dinyatakan MP Penampang sejak dari awal.

Beliau berkata, Darell sejak dari awal hingga kini kekal dengan pendirian tidak mahu ada empangan kedua dibina di kawasan Parlimen Penampang.

Malah katanya, sejak Darell diberi mandat menjadi MP Penampang, beliau berkempen bersama-sama TAKAD dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berpusat di Penampang menentang pembinaan Empangan Kaiduan yang sepatutnya merangkumi Kampung (Kg) Buayan dan Kg Terian.

PRITCHARD GUMBARIS

Jelas beliau, pada penghujung 2013 pula, Darell bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Terrence Siambun turut mengumpulkan petisyen bantahan dari rumah ke rumah yang berjaya mengumpulkan 5,000 tandatangan melalui Projek BANTAH bagi meminta kerajaan negeri membatalkan cadangan pembinaan Empangan Kaiduan.

Menurutnya, hasil gerakan tersebut, di bawah kepimpinan kerajaan baharu, Empangan Kaiduan dibatalkan dan disahkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tahun lalu.

“Saya sedar keperluan untuk menangani masalah kekurangan bekalan air di Sabah sangat mendesak, penyelesaian yang efektif diperlukan namun bukan dengan meminta Penampang terus berkorban, sementara daerah lain hanya duduk melihat sahaja.

“Ada spekulasi menyatakan beberapa kawasan di daerah Penampang akan terlibat sebagai tapak projek yang dikatakan berada di sempadan Penampang-Papar. Ini menimbulkan kebimbangan.

“Atas sebab itu, saya meminta kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur supaya menggunakan pendekatan yang lebih telus dengan menyediakan penjelasan lebih terperinci mengenai Empangan Papar ini, terutama sekali kawasan sebenar yang akan terlibat,” kata Pritchard dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, penjelasan yang terperinci penting bagi menyelesaikan kekeliruan dalam kalangan penduduk di Penampang sekaligus menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang cuba mencari ruang memburuk-burukkan imej kerajaan Sabah.

Pritchard berkata, amat penting bagi kerajaan Sabah untuk tidak bertindak seperti kerajaan Barisan Nasional dan UMNO Sabah di mana semua keputusan dilakukan ketika itu dibuat secara sulit tanpa mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.

“Kerajaan Sabah pada hari ini perlu bertindak secara profesional dan telus.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil pendekatan inklusif bagi memastikan semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan, NGO dan pemimpin masyarakat diberi peluang untuk menyatakan kebimbangan mereka melalui perbincangan terbuka seperti sesi townhall,” jelasnya.

Tegas beliau, perbincangan sebegitu juga membolehkan kerajaan negeri memaklumkan tentang penjelasan terperinci mengenai pembinaan empangan berkenaan.

Bagaimanapun tambahnya, ia terpulang kepada masyarakat Papar untuk memutuskan sama ada mereka mahu atau tidak pembinaan empangan itu dilakukan di kawasan mereka.