Amat Malang Bagi Sabah dan Sarawak Pindaan Perlembagaan Gagal

1508

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berpendapat adalah malang bagi Sabah apabila beberapa Anggota Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak sendiri yang menyebabkan pembetulan ke atas Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan gagal.

Beliau berkata ini menunjukkan retorik politik akan terus berlangsung berbanding satu kebanggaan yang sepatutnya telah menjadi bahan bicara kegembiraan rakyat Sabah dan Sarawak sebaik selepas proses undian Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada Selasa.

Katanya, kerajaan yang lepas juga sebenarnya mempunyai peluang yang cukup baik untuk membetulkan Fasal 2 tersebut tetapi tidak pernah ada usaha yang sampai sehingga ke peringkat pembentangan pindaan di Dewan Rakyat.

“Kebanyakan yang tidak menyokong pindaan tersebut dengan mengambil pendekatan berkecuali sebenarnya adalah pernah menjadi Anggota Jemaah Menteri atau Anggota Dewan Rakyat dalam Kerajaan yang lepas. Itulah ironinya.

“Jika saya Anggota Dewan Rakyat, saya sudah menyokong dan mengundi pindaan ke atas Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan Malaysia tersebut semalam. Dan keluar daripada Dewan Parlimen, menyatakan saya sudah menjadi sebahagian daripada pemimpin Sabah yang telah berjaya membetulkan satu kesilapan kepimpinan yang lepas,” katanya di sini, kelmarin.

Pada Selesa, usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963, gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi di Dewan Rakyat.

Ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) itu kekurangan 10 undi untuk memperoleh sokongan majoriti ; 148 undi daripada 222 anggota Parlimen iaitu dua pertiga persetujuan anggota Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membentangkan bacaan kedua bagi Pindaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Fasal (2) Perkara 1 yang dibaca kali pertama oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Ewon yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar Sabah berkata tidak dinafikan perlu adanya pakej tuntutan yang lebih baik.

Menurutnya tetapi tidak salahnya dapat membetulkan satu demi satu kesilapan atau kelemahan pindaan yang telah dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan.

“Setidak-tidaknya pada malam tadi (meminda Perlembangaan Persekutuan) sudah boleh berbangga satu kesilapan yang lepas telahpun diperbetulkan,” katanya.