Amarjit: Bekalan Air Cukup, Tidak Perlu Stock Air

Amarjit memantau kakitangan yang bertugas di Bahagian Khidmat Pelanggan JANS.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Amarjit Singh memberi jaminan bekalan air di negeri ini mencukupi buat masa sekarang.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan di enam empangan di seluruh Sabah, status bekalan air di semua empangan adalah normal sehingga hari ini.

“Jabatan Meteorologi Malaysia juga memaklumkan peralihan angin monsun menjelang hujung bulan ini akan membawa taburan hujan dan ini bermakna kita akan menerima hujan di kawasan tadahan air.

“Jadi, saya tidak melihat keperluan untuk stock (simpan) air. Tidak perlu ada rasa bimbang atau cemas tentang ketiadaan bekalan air kerana kita bukan berada dalam keadaan kecemasan,” katanya ketika ditemui Borneo Today,  di Pejabat JANS,  di sini hari ini.

Amarjit berkata, bekalan air pada masa ini memang mencukupi cuma ada beberapa kawasan yang berdepan masalan bekalan seperti di Tawau dan Kinarut.

Di sebuah kawasan perumahan di Tawau,  loji rawatan air yang membekalkan 50 juta liter sehari (MLD) air mengalami kekurangan sehingga mampu membekalkan 15MLD sahaja.

“Loji itu mengalami kekurangan 35MLD dan memberi kesan terhadap 20,000 orang penduduk.

“Namun, JANS telah mengambil langkah pantas dengan mengaktifkan kod merah iaitu menghantar lori tangki air ke kawasan berkenaan,” ujarnya.