AMANAH Sabah Kekal Sokong Pencalonan Shafie Sebagai PM

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah menyifatkan pencalonan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai pemecah tradisi terhadap dominasi pemimpin Semenanjung Malaysia sebagai Perdana Menteri.

Seiring dengan semangat perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), AMANAH Sabah berdiri teguh menyokong pencalonan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu berkata, walaupun AMANAH nasional bersama-sama dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri namun, AMANAH Sabah berdiri teguh menyokong pencalonan Mohd Shafie.

Beliau berkata, AMANAH Sabah melihat pencalonan ini cukup penting dan signifikan terhadap Sabah. Ia juga sesuai dengan asas pembentukan Malaysia yang meletakkan Sabah sebagai salah satu rakan kongsi bersama Sarawak dan Malaya di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, AMANAH Sabah percaya dengan meletakkan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri akan dapat memastikan usaha mengangkat hak-hak Sabah dan juga Sarawak dapat dijayakan.

“Pencalonan ini adalah satu bentuk keterbukaan dan kesungguhan politik yang memberi ruang kepimpinan utama negara diterajui oleh pemimpin daripada Sabah khususnya dan Borneo amnya yang selama 57 tahun ini didominasi oleh pemimpin daripada Semenanjung sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, pencalonan ini sudah pastinya akan memberi harapan terhadap perjuangan pemimpin Sabah dalam menuntut hak-hak yang termaktub di dalam perjanjian sesuai dengan penubuhan Malaysia pada 1963.

Katanya, ia juga akan memberi harapan terhadap peluang pengagihan kekayaan dan pembangunan negara yang selama ini tidak seimbang. Keadaan itu menyebabkan perbezaan yang begitu ketara terhadap pembangunan di Sabah dari sudut pendidikan, ekonomi dan sosial.

Lahirul berkata, AMANAH Sabah mengikuti secara rapat perbincangan berhubung kemelut pencalonan Perdana Menteri yang masih gagal mencapai kesepakatan sehingga berlangsungnya Sidang Parlimen pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi AMANAH Sabah, kami tetap dengan pendirian menyokong Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri yang kesembilan.

“Mohd Shafie adalah pemimpin yang berkebolehan dan berpengalaman sesuai dengan pelbagai jawatan menteri yang pernah disandang oleh beliau di peringkat persekutuan dan juga kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah ketika ini,” ujarnya.