LABUAN: Parti Amanah Negara (Amanah) Bahagian Labuan yang baru ditubuhkan telah merangka hala tuju politiknya yang akan memfokus kepada ekonomi, perpaduan rakyat dan integrasi sosial.
Bernama melaporkan, ketua kawasan itu, Chemat Mustapha berkata barisan kepimpinannya termasuk wakil dari sayap wanita yang terdiri daripada para profesional, usahawan, pemimpin badan bukan kerajaan dan bekas ketua masyarakat.
“Kami yakin dapat memimpin bahagian ini menjadi sebuah parti yang memikul amanah untuk pelbagai lapisan masyarakat dan sudah tentu kita mahu suara Labuan didengar di peringkat kerajaan pusat demi kemajuan ekonomi dan sosial rakyat,” katanya pada sidang akhbar sulung bahagian itu di pejabat Parti Amanah Labuan di sini hari ini.
Hala tuju politik yang telah dirangka Amanah Labuan itu termasuk memberi semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan untuk menjadikan struktur kerajaan lebih kukuh dan kuat tanpa unsur-unsur politik kronisme dan nepotisme dan birokrasi.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang unsur kronisme dan nepotisme dalam badan-badan kerajaan di pulau ini selaras dengan slogan Amanah, iaitu ‘Amanah. Progresif. Peduli.’
Beliau turut menekankan bahawa ekonomi Labuan yang masih banyak bergantung kepada minyak dan gas dan sektor kewangan antarabangsa perlu terus dipertahankan dan diberi perhatian sewajarnya.
“Bagaimanapun, ia bukan satu kerja mudah dan kita tidak boleh mencapainya dalam tempoh semalam lalu kerana iltizam politik tetap memainkan peranan penting dalam memastikan ia dapat dicapai,” katanya.
Chemat juga berkata hala tuju lain bahagian itu turut memfokus kepada mempertahankan hak-hak usahawan tempatan (mereka yang masih menjalankan operasi perniagaan) agar tidak terjejas oleh perniagaan yang dijalankan oleh mereka yang bukan penduduk tempatan.
“Kita perlu memastikan para usahawan tempatan sama ada perusahaan kecil atau besar terus diberikan sokongan kerana Labuan bukan sebuah negeri yang besar dan peluang-peluang perniagaan amat terbatas,” kata Chemat.
Beliau berkata bahagian itu juga telah merangka program-program yang akan melibatkan rakyat dari semua sektor bertujuan untuk memperatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat terutama di peringkat kampung.
“Jika boleh kita mahu parti ini menjadi platform untuk rakyat memberikan sebarang maklum balas kepada kerajaan dan sebaliknya,” kata beliau.
Chemat berkata bahagian itu juga membuka pintu kepada rakyat bukan Islam termasuk bekas pemimpin dan anggota MIC untuk menyertainya bukan sahaja sebagai anggota biasa tetapi juga boleh memegang jawatan dalam parti.
Sementara itu, Ketua Wanita Amanah Bahagian Labuan Yantei Bakir berkata pemerkasaan wanita adalah antara hala tuju politik yang akan diberi fokus oleh parti.
“Kita juga akan fokus kepada usaha untuk menjadikan wanita di pulau ini lebih berdikari dan menikmati hak-hak untuk mengawal dan mendapat manfaat daripada sumber-sumber, aset, pendapatan dan masa mereka sendiri, selain mampu mengurus risiko dan memperbaiki taraf ekonomi dan kesejahteraan hidup mereka.
Yantei berkata sayap wanita akan memainkan peranan proaktif sebagai platform untuk para wanita tanpa mengira tahap mana dan bidang apa yang diminati mereka.