Alumni UMS Diseru Kembali Sumbang Kepada Universiti

KOTA KINABALU: Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru menyumbang kepada universiti sama ada dalam bentuk kewangan atau konsultasi bidang kepakaran masing-masing.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin berkata, perkongsian ilmu daripada para alumni yang berjaya umpamanya merupakan sumbangan yang tidak ternilai bagi memberi motivasi dan membantu para pelajar UMS menjadi  graduan yang berjaya kelak.

“Dalam masa yang sama, ia juga secara tidak langsung mewujudkan jaringan sosial yang kuat antara pelajar dan alumni sekali gus membuka ruang dan peluang  pekerjaan kepada mereka apabila tamat pengajian kelak.

“Segala sumbangan murni dalam bentuk kewangan pula akan disalurkan ke tabung khas bagi membantu pelajar kurang berkemampuan, membiayai aktiviti-aktiviti pelajar dan alumni, kebajikan pelajar serta pelbagai lagi aktiviti berteraskan pembangunan holistik pelajar,” katanya.

Raman berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar bersama Alumni UMS di sebuah hotel di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Menurut beliau, sumbangan alumni dalam memberi respon soal selidik juga memberi impak terhadap penarafan UMS seperti dalam penarafan QS World Ranking di bawah elemen reputasi organisasi.

“Sesungguhnya, universiti sentiasa membuka pintu kepada semua alumni agar dapat memainkan peranan yang lebih efektif dan aktif dalam pembangunan modal insan para pelajar universiti.

“Alumni adalah duta ataupun role model yang perlu sentiasa bersedia menyumbang semula berkaitan bidang kepakaran masing-masing untuk perkongsian bersama,” katanya.

Majlis yang dihadiri 100 alumni UMS turut menyaksikan sebanyak 200 bakul makanan disumbangkan Pertubuhan Alumni UMS kepada pelajar non-residen,  selain sumbangan tiga unit komputer riba daripada Saputra Travel & Tours kepada tiga pelajar UMS yang berkeperluan.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Nurlaila Said; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Mohd. Raffie Janau.