All Saints, Kelas Kembali Normal, Tiada Kaitan Isu Agama Atau Kaum

Dr Yusof Yacob mendengar penerangan daripada pengetua sekolah, Dr Mary Gambidau, kiri, ketika hadir ke sekolah itu Isnin pagi.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pengasingan kelas yang berlaku di Sekolah Menengah (SM) All Saints Likas di sini tiada kaitan dengan isu agama atau perkauman.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, penjelasan telah diberikan oleh pihak sekolah dan mendapati punca berlaku perkara itu adalah disebabkan masalah teknikal.

Sehubungan itu katanya, masalah tersebut telah diselesaikan dan para pelajar di semua kelas tingkatan satu sekolah itu akan disusun semula agar berlaku pergaulan antara pelajar Islam dan bukan Islam seperti yang biasa terjadi di mana-mana sekolah.

“Ini adalah kes terpencil, pengetua sekolah ada niat baik tetapi mungkin ada kesilapan dalam membuat keputusan, jadi kehadiran saya di sini adalah untuk selesaikan perkara ini.

Dr. Yusof Yacob mengambil kesempatan bergambar dengan sebahagian pelajar di SM All Saints.

“Bagi saya perkara ini sudah selesai, kita tangani dari awal sebab isu ini bukanlah isu besar,” katanya dalam sidang akhbar ketika hadir ke sekolah itu pagi ini (Isnin 18 Mac, 2019).

Terdahulu, Dr. Yusof mengadakan mesyuarat tetutup bersama pengetua sekolah, Dr. Mary Gambidau, wakil Jabatan Pendidikan Sabah dan pengurusan sekolah mengenai sekolah berkenaan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Kassim Mohd Ibrahim.

Dr. Yusof Yacob bersalaman dengan Dr. Mary Gambidau selepas menyelesaikan masalah pengasingan kelas di sekolah itu.

Kelmarin, tular satu petisyen yang ditandatangani oleh ibu bapa pelajar tingkatan satu di sekolah itu yang meminta Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera terhadap tindakan pengasingan kelas berkenaan.

Dalam petisyen itu, mereka mendakwa pengasingan kelas dibuat oleh pengetua sekolah sejak Januari lalu iaitu empat kelas pelajar bukan Islam dan dua untuk pelajar Islam.

Pergaulan antara pelajar Islam dan bukan Islam adalah adalah perkara biasa yang dapat dilihat sepanjang masa di SM All Saints dan semua sekolah di Sabah.

Sementara itu, ketika ditanya apakah punca pengasingan itu dibuat dan masalah teknikal yang timbul, Dr Yusof enggan menjelaskannya.

Tambahnya, semua pihak perlu berhenti menularkan perkara tersebut untuk mengelakkan masalah berpanjangan dan memupuk perpaduan kaum di negeri ini.

“Kekuatan kita di Sabah adalah masyarakatnya hidup dalam perpaduan kaum dan agama, saya sendiri ada keluarga daripada agama serta kaum lain jadi tiada isu perkauman di sini,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Jabatan Pendidikan Ambil Tindakan Segera Dakwaan Pengasingan Kelas