Alias Lapor Polis Tuduhan Terbabit Pengganas

Oleh JENNIFER TUGUNG & TERTIA JACOB
SANDAKAN: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Alias Sani membuat laporan polis susulan dakwaan beliau terbabit dengan kumpulan pengganas.

Alias ketika ditemui di sini, hari ini, berkata dia membuat laporan terhadap pengguna YouTube bernama Jufazli Shi Ahmad pada pukul 4 petang semalam di Balai Polis Sandakan.

Katanya, video yang bertajuk ‘mengejutkan Shafie Apdal hantar pengganas terrorist jadi calon Warisan dalam PRN Sabah!’ itu berunsur fitnah dan mengandungi maklumat tidak tepat, sekali gus menjatuhkan nama baik dan maruahnya sebagai calon.

“Saya sekali lagi ingin membuat penafian sekeras-kerasnya bahawa saya tidak pernah terlibat dengan keganasan.

“Biarkan undang-undang mengambil peranannya untuk menyiasat dan saya harap penyiasatan dapat menghentikan fitnah di negara kita cintai ini,” katanya.

Calon Warisan DUN Sekong, Alias Sani (kanan) bersama peguamnya, Douglas Lim menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi meminta tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik akaun YouTube, Jufazli Ahmad.

Turut menemani Alias adalah peguamnya, Douglas Lim.

Alias berkata, usaha pihak tertentu menabur fitnah itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kempennya, sebaliknya menguatkan lagi semangatnya untuk memenangkan WARISAN di kerusi itu.

Katanya, fokus beliau adalah menawarkan kepada rakyat khususnya di Sekong satu dimensi politik baru yang sarat dengan nilai politik anak muda yang berteraskan ilmu, fakta dan relevan untuk semua lapisan rakyat.

“Saya berhasrat untuk bersungguh-sungguh membantu membina semula Sekong kerana selepas begitu lama, saya dapati ada beberapa perkara prinsipal di Sekong yang perlu diurus oleh wakil rakyat dan kerajaan.

“Kehadiran kami (calon) dalam WARISAN adalah untuk ‘people centric’, ‘people interest’, tiada untuk kepentingan diri.

“Rakyat sudah boleh menilai sejauh mana pencapaian kami dalam konteks menterjemahkan agenda rakyat melalui pendekatan kebajikan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Alias meminta pengundi memberi sokongan sepenuhnya terhadap calon WARISAN di seluruh negeri kerana hanya dengan mengembalikan agenda politik tempatan Sabah, agenda rakyat negeri ini dapat diangkat.

Katanya, sudah tentu selepas dua tahun WARISAN menghadapi beberapa isu termasuk ekonomi merundum dan gangguan terhadap pemerintahan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kami dalam WARISAN bangun memperbaiki dan meneruskan agenda pembangunan negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.

Alias juga menyeru rakyat di DUN Sekong agar mengabaikan apa juga isu yang ditularkan, sebaliknya fokus terhadap agenda untuk meneruskan pembangunan di kawasan Sekong.

BERITA BERKAITAN: –

Alias Bukan Pengganas, Rekodnya Telah Disemak Sebelum Dipilih

Saya Ditahan Tanpa Sebab, Saya Bukan Pengganas