Aliakbar Diminta Untuk Hentikan Bahas Isu Troli Bataras Keningau

Ketua DAPSY Keningau, Grelydia Gillod.

KOTA KINABALU: Isu berkenaan dengan troli Bataras Keningau yang diviralkan di sosial media baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat. Terdahulu seorang netizen bernama Muhammad Haziq Abd Rahman telah membuat postingan di Facebook yang meminta supaya pihak Bataras mengasingkan troli untuk barangan halal dan non-halal.

Saya berpendapat bahawa isu ini telah pun berjaya diselesaikan oleh pihak pengurusan Bataras Keningau. Namun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Aliakbar Gulasan pemimpin PAS baru-baru ini melalui Utusan Borneo Online bertarikh 7 Jun, seolah olah sengaja dan berniat untuk menyemarakkan lagi isu tersebut dengan mengaitkan isu agama pula.

Aliakbar sepatutnya tidak perlu mengulas kembali isu yang telah pun diselesaikan oleh pihak pengurusan Bataras. Ianya ialah masalah pengurusan dan sepatutnya tidak terkait dengan isu agama yang dilihat sudah jauh menyimpang daripada tujuan asal isu itu diviralkan. Justeru, Grelydia Gillod selaku Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Keningau meminta supaya Aliakbar hentikan membahas isu troli Bataras Keningau.

Saya memandang serius akan hal ini kerana ianya amat berbahaya kerana boleh mencetuskan perbalahan dan ketegangan agama yang tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama terutamanya di negeri Sabah. Selaku pemimpin dalam blok kerajaan beliau sepatutnya berperanan menjaga dan memelihara keamanan dan kemakmuran Negeri Sabah dan menolak sebarang unsur-unsur berbaur keagamaan yang boleh menjejaskan Negeri Sabah dan rakyatnya.

Justeru, saya berpendapat bahawa beliau sepatutnya menumpukan isu yang lebih penting dan utama sekarang dan menjalankan tanggungjawab beliau dengan lebih serius iaitu sebagai Adun Dilantik. Terutamanya dalam masa-masa kini Malaysia mendepani Covid-19 seterusnya dalam menjayakan program suntikan vaksin covid-19.

Berdasarkan laporan daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) setakat 9 Jun bahawa Negeri Sabah dan Kelantan masih mencatatkan jumlah pendaftaran yang terendah. Oleh itu, di sini saya ingin menyarankan kepada pihak kerajaan Negeri Sabah supaya menimbangkan cadangan untuk menggunakan konsep Mobile Vaccination Unit seperti yang telah dilakukan di Muar. Konsep PPV bergerak yang menggunakan bas dijadikan sebagai tempat pemberian vaksin ini akan memudahkan penduduk kampung yang mempunyai masalah kenderaan. Penerima vaksin boleh sampai tepat pada masanya dan tidak perlu mengeluarkan belanja lebih untuk makanan dan tambang bas untuk pergi ke pusat-pusat vaksinasi yang terletak jauh di pekan. Kawasan di Sabah yang mempunyai masalah akses jalan perhubungan ini seperti di Pedalaman (Tambunan, Keningau, Pensiangan dan Tenom).

Saya turut ingin menggalakan agar rakyat yang berada di Pedalaman supaya tidak perlu takut untuk menerima suntikan vaksin dan mengelak sebarang khabar angin yang tidak benar. Ini masanya untuk semua pihak memainkan peranan dan membantu frontliners kita dengan menjayakan program vaksinasi ini.