Alat Memasak Steamboat Meletup, 4 Termasuk 2 Kanak-kanak Cedera

KOTA KINABALU: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera apabila alat memasak steamboat meletup di sebuah restoran di Alam Mesra di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.06 malam.

Katanya sepasukan 13 pegawai dan anggota bersama kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi yang terletak 11 kilometer dari balai.

“Kejadian melibatkan letupan alat memasak steamboat. 4 orang mangsa dilaporkan cedera di lokasi kejadian.

“2 orang mangsa kanak-kanak yang cedera dihantar oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi, manakala 2 orang lagi mangsa dewasa termasuk seorang wanita diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilokasi dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, pasukan bomba bertindak melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi dan operasi ditamatkan jam 9.41 malam.