Alasan Beli Kopi Berakhir Tidur Di Lokap

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Alasan dua lelaki keluar membeli kopi berakhir dengan tidur di lokap selepas didakwa ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bandar Cenderawasih, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.40 petang itu, suspek masing-masing berumur 19 dan 25 tahun itu ditahan ketika menunggang sebuah motosikal di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum ini, kedua-dua suspek pernah ditahan atas kesalahan yang sama pada Rabu lalu sebelum dibebaskan Timbalan Pendakwa Raya.

“Sebaik ditahan, kedua-dua suspek memberi alasan mahu membeli kopi di bandar berkenaan.

Lokasi suspek ditahan.

“Bagaimanapun, polis mendapati alasan itu tidak munasabah apatah lagi mereka keluar berdua selain kediaman mereka terletak 16 kilometer dari lokasi kejadian, melebihi jarak yang dibenarkan sepanjang PKP,” katanya.

Menurut Nasri, siasatan lanjut yang dilakukan mendapati ada kedai runcit di kawasan berhampiran kediaman mereka yang turut menjual barang keperluan dapur.

“Tindakan mereka berdua ini dianggap cuai kerana boleh menyumbang kepada penyebaran virus Covid-19.

“Sehubungan itu, Kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020, selain Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya.