Aktiviti Sukan dan Rekreasi Masih Tidak Dibenarkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah belum membenarkan sebarang aktiviti sukan dan rekreasi di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi adalah tidak terpakai di negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini hari ini.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau berkata, dua lagi lokaliti iaitu di Penjara Kepayan dan Kuarters Anggota Pegawai di Taman Mat Salleh, Kampung Matambai, Kepayan dikenakan PKPD bermula 20 Oktober hingga 2 November ini.

Dengan tambahan dua lokaliti itu, keseluruhan lokaliti di Sabah yang menjalani PKPD adalah sebanyak 14 lokaliti.

Manakala, bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan dengan teratur, SOP telah ditetapkan di bawah kementeriannya.

Untuk SOP aktiviti pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur pula ditentukan Kementerian Kerja Raya Sabah.

Menyentuh tentang agihan bakul makanan, sehingga kini sejumlah 57,329 bakul makanan telah diagihkan di kawasan PKPD dan kepada mereka yang menjalani perintah kuarantin.

Mengenai sampel ujian yang masih belum diproses, tiga klinik swasta di Sabah dilantik bagi membantu memproses sampel ujian Covid-19. Dengan ini, sampel yang tertangguh boleh diproses segera.

“Kita menjangkakan statistik yang lebih tepat selepas kes-kes tertunggak ini selesai (diproses). Statitistik yang diumum selepas itu akan menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku,” jelasnya.