Aktiviti Selaman Kini Dibenarkan Di Sabah – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Aktiviti menyelam kini dibenarkan beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kebenaran itu dibuat dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini yang bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri bagi membenarkan aktiviti menyelam di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, cadangan ini dikemukakan kerana aktiviti menyelam (scuba diving) dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal.

Untuk itu, aktiviti menyelam boleh dilaksanakan dengan syarat bot yang membawa penyelam ke lokasi selaman tidak melebihi 30 peratus daripada muatan bot bagi memastikan ada penjarakan fizikal.

Masidi berkata, SOP khusus bagi aktiviti menyelam akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Tambahnya, aktiviti menyelam itu bagaimanapun tidak dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Untuk kawasan dalam zon merah, aktiviti selaman itu dibenarkan mengikut SOP yang ditetapkan.

Namun, rentas sempadan daerah bagi aktiviti selaman masih tidak dibenarkan berikutan seluruh Sabah masih berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).