Aktiviti Ekonomi Sabah Akan Dirancakkan Semula Selepas PKP Berakhir

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pakej Rangsangan Ekonomi yang akan diumumkan kelak diyakini akan membantu memulihkan semula ekonomi Sabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, pakej yang diumumkan pada Rabu lalu lebih kepada bantuan kepada golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP berikutan penularan wabak Covid-19.

Namun, Pakej Rangsangan Ekonomi yang akan diumumkan Ketua Menteri akan dapat menghidupkan semula ekonomi di negeri ini.

“Untuk mengharapkan tempoh PKP berakhir dengan cepat, kita perlu kerjasama dan disiplin seluruh rakyat Sabah. Jika kita gagal memberi kerjasama, tempoh PKP ini akan terus dilanjutkan.

“Saya harap kita dapat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi melaksana perintah ini. Sayara harap tempoh PKP ini akan berakhir dengan cepat supaya kita boleh mulakan semula aktiviti ekonomi seluruh Sabah. Kita perlu melaksana program pembangunan infrastruktur yang perlu dilaksana dengan kadar segera,” katanya kepada Borneo Today ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Menurutnya, menerusi Pakej Bantuan Covid-19 Sabah, aktiviti ekonomi di setiap daerah masih berjalan dengan pemberian barangan keperluan dapur.

“Proses penyediaan barang keperluan dapur yang dilaksana oleh pejabat daerah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), sudah tentu memerlukan pembekal barangan. Maka, pasar raya, kilang-kilang beras dan pusat pembekalan makanan boleh menghidupkan ekonomi di daerah masing-masing dengan adanya aktiviti penyaluran bantuan  sebegini,” katanya.

Mengulas lanjut, Pakej Bantuan Covid-19 Sabah yang dilaksana pada masa ini bukan hanya menangani keperluan kemanusiaan tetapi, ia masih boleh menjana aktiviti ekonomi melalui penyaluran bantuan barang dapur.

Malah, bekalan hand sanitizer juga diambil daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bagi membantu menjana ekonomi rakyat di negeri ini.

“Saya percaya pakej sedia ada ini boleh membantu merangsang ekonomi di seluruh negeri. Biarpun mungkin tidak sepenuhnya tetapi, kerajaan Sabah akan memastikan aktiviti ekonomi masih boleh dijalankan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa sehingga 14 April,” jelasnya.