Aktiviti Barter Trade Suburkan Ekonomi Tiga Negara – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi di tiga wilayah Sabah-Indonesia-Filipina dilihat akan terus berkembang dengan pelaksanaan semula aktiviti perdagangan tukar barang (Barter Trade) di rantau ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, aktiviti itu akan dipergiatkan dengan penyertaan 43 syarikat yang telah memperolehi lesen dagangan di Sabah.

Beliau berkata, selaras dengan pelaksanaan semula barter trade itu, lima pembaharuan telah dipersetujui antara ketiga-tiga wilayah termasuk tiada had dagangan ditetapkan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, pihak terlibat dalam dagangan juga akan dipastikan benar-benar mempunyai rekod yang baik dan berupaya membekalkan barangan dagangan secara konsisten.

“Kita tidak mahu peniaga yang tidak mempunyai keupayaan kewangan dan jaringan kerjasama yang baik sehingga tidak mampu membekalkan barangan secara konsisten. Itu akan membantutkan kesuburan perdagangan yang ada.

“Untuk itu, kita mahu pastikan ada kemampanan demi kesinambungan dagangan.

“Peniaga-peniaga terlibat perlu mempunyai bekalan yang mencukupi dan konsisten dengan harga yang berpatutan bagi membolehkan perdagangan yang dilaksana itu mampan. Kita tidak mahu dagangan yang dijalankan hanya bertahan sebulan atau dua bulan sahaja berikutan barangan yang tidak mencukupi,” katanya ketika Sidang Media sempena Majlis Pelancaran Barter Trade, di Pejabat Kementerian Kewangan, di sini pada Isnin.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan ini berkata, beliau mahu kerangka yang ada dalam barter trade itu mampu memberi kesan kepada negara jiran, peniaga serta rakyat mereka secara keseluruhannya.

Katanya, apa yang dilakukan itu perlu memberi kesan kepada negara jiran serta peniaga-peniaga di sana. Bukan keuntungan semata-mata yang perlu diambil kira sebaliknya, biarlah keuntungan yang diperolehi itu berpanjangan agar perniagaan yang dilaksana lebih mampan.

Menurutnya, pemantauan barter trade itu akan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Barter Trade yang terletak dibawah Kementerian Kewangan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dibawah Kementerian Dalam Negeri selaku salah satu agensi dalam Jawatankuasa Teknikal yang terlibat.

Katanya, jawatankuasa teknikal itu melibatkan agensi seperti polis, pasukan polis marin, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah serta semua agensi yang mempunyai bidang kuasa berkaitan.

“Pihak berwajib yang sudah mempunyai pengalaman akan melaksana tanggungjawab mereka sebaik mungkin supaya dapat membantu memajukan lagi perdagangan yang dilakukan,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, perdagangan yang dilaksana membabitkan zon Tawau, Sandakan dan Kudat.

“Dalam kerangka penyediaan zon ini, beberapa pendekatan diambil kira supaya perdagangan yang ada berjalan lancar. Ia termasuk aspek keselamatan dan pemantauan kapal bagi mengelakkan barangan dirampas lanun ketika berada di lautan.

“Kerjasama antara tiga negara ini memang diperketatkan bagi memastikan barangan tidak dirampas lanun,” katanya.

Mohd Shafie percaya jika ekonomi negara jiran dibangunkan, tempiasnya akan turut dirasai oleh Sabah.

Mengulas mengenai cadangan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan, beliau percaya langkah itu akan memberi impak ekonomi yang cukup besar kepada Sabah.

Maka, Kerajaan Sabah akan melihat bagaimana kerangka kerjasama yang ada melalui barter trade ini dapat dimantapkan dan ditingkatkan.

Aktiviti barter trade telah dimulakan pada Januari lalu dengan jumlah penyertaan yang kecil dan sempena pelancaran ini penyertaan peniaga terlibat sudah bertambah.