Aktif Semula Enakmen Mineral Untuk Kawal Penerokaan Minyak Sabah

2148
SHAFIE APDAL: Kerajaan akan melihat kepada langkah untuk menguatkuasakan aktiviti penerokaan minyak di negeri ini sama seperti yang dilakukan Kerajaan Sarawak.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan melihat kemungkinan untuk mengaktifkan semula enakmen mineral yang di Sabah bagi mengawal selia aktiviti penerokaan minyak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat kepada langkah untuk menguatkuasakan aktiviti penerokaan minyak di negeri ini sama seperti yang dilakukan Kerajaan Sarawak.

“Saya difahamkan oleh bekas peguam besar negeri, kita memang mempunyai enakmen mineral di Sabah.

“Saya fikir saya akan melihat perkara itu dan saya akan minta peguam besar negeri untuk melihat perkara ini dengan lebih lanjut sekiranya ada kelemahan. Kita akan aktifkan semula enakmen ini bagi memastikan Sabah juga mempunyai kuasa yang sama seperti Sarawak.

“Saya tidak pasti tentang enakmen ini namun, jika ia memang ada saya fikir ia mungkin termasuk dalam enakmen tanah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai saranan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang mahukan Sabah memperkukuh kedudukan dengan mengawal enakmen berkaitan minyak dan gas.

Madius berkata, Sarawak sudah memperkukuhkan perkara ini melalui Ordinan Perlombongan Minyak. Oleh itu, mana-mana pihak yang mahu melakukan penerokaan minyak di Sarawak perlu mendapatkan lesen dari kerajaan.

Katanya, penguatkuasaan ordinan itu boleh menghadkan aktiviti perlombongan minyak yang dilakukan Petronas. Atas sebab itu, Sabah juga perlu mempunyai ordinan sendiri seperti yang dilakukan oleh Sarawak.

Mengenai masalah bekalan elektrik dan air yang tidak mencukupi, langkah berani perlu diambil bagi memastikan rakyat dapat terus menikmati bekalan air untuk tahun-tahun akan datang.

Jika dilihat pembinaan Empangan Bakun di Sarawak, ia mendapat tentangan masyarakat antarabangsa suatu ketika dahulu tetapi kini, hasilnya dapat dilihat apabila ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Pembinaan Empangan Kaiduan menjadi masalah dan isu politik. Saya menyatakan di peringkat kabinet, kita perlu lakukan sesuatu jika tidak, kita tidak akan mempunyai bekalan air mencukupi. Tiada guna kita bising dengan bantahan 1,000 orang tapi kemudian hari, jika seluruh Kota Kinabalu tiada bekalan air, saya ingat 500, 000 orang akan buat bantahan.

“Dengan itu saya minta satu kajian mendalam dilakukan di Papar, Kota Belud dan Tambunan dalam jangka masa panjang supaya kita bina empangan untuk membolehkan bekalan air mencukupi bagi tempoh 50 tahun akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafie juga mahu penyusunan semula dilakukan dalam institusi agama bagi memastikan pastor juga memperoleh elaun seperti imam.

Beliau juga meminta Madius mengetuai satu jawatankuasa khusus untuk memastikan masalah bekalan elektrik di negeri ini dapat diatasi.

Katanya, perancangan perlu dilakukan sama ada menggunakan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atau kaedah alternatif lain bagi memastikan bekalan elektrik yang dijana mencukupi bagi sektor perindustrian di negeri ini.