AirAsia: Fasiliti Pinjaman RM300 Juta Mengikut Lunas Perundangan, Prosedur

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd menegaskan bahawa urus niaga, yang mana ia memperolehi fasiliti pinjaman berjumlah RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) telah diselesaikan mengikut lunas perundangan, polisi dan prosedur berkaitan permohonannya.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata transaksi itu mengambil tempoh selama lima bulan untuk diselesaikan dari tarikh permohonan. 

Fasiliti tersebut telah diluluskan SDB untuk pembangunan pelbagai projek dan bertujuan bagi membawa impak sosio-ekonomi yang positif kepada negeri Sabah.

“Dengan kemudahan ini, sumbangan AirAsia (sekarang berada hampir satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Sabah) dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang dan telah membantu Sabah mendapatkan semula kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama pasca COVID-19,” kata AirAsia.

Menurut syarikat penerbangan itu, urus niaga tersebut, antara lain akan membolehkan AirAsia mempercepatkan rancangan pengembangannya bagi mengubah Kota Kinabalu menjadi hab antarabangsa untuk operasi penumpang dan logistiknya. 

AirAsia telah menyediakan kesalinghubungan domestik dan antarabangsa ke Sabah sejak 2001, membawa masuk 660,000 pengunjung ke negeri berkenaan disamping mewujudkan hampir 60,000 pekerjaan.

Fasiliti itu juga akan digunakan untuk membangunkan dan meningkatkan kemudahan rantaian pendinginan di Sabah yang akan meningkatkan kebolehpasaran hasil segar negeri ini bagi pasaran domestik serta luar negara melalui platform bekalan makanan digital Ourfarm AirAsia. 

“Ini berpotensi untuk meningkatkan keuntungan petani dan nelayan di Sabah, yang sejajar dengan misinya bagi menjadi negeri pengeluar makanan terpenting di Malaysia dan menyumbang ke arah keselamatan makanan negara,” kata syarikat penerbangan itu.

Kenyataan AirAsia ini dikeluarkan sebagai susulan kepada pelbagai artikel berita berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas kemudahan pinjaman RM300 juta yang diberikan oleh bank milik kerajaan Sabah itu kepada syarikat penerbangan tersebut.

Pada penutupan hari ini, saham-saham AirAsia jatuh 0.9 peratus kepada 55 sen.