Ahli Warisan Yang Akun Boleh Beri IC Perlu Ditangkap – Arifin Asgali

Arifin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara disaksikan oleh Nordin (tengah) serta hadirin kehormat yang lain.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Ahli-ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) yang didapati mengaku boleh memberi Kad Pengenalan (IC) kepada orang ramai perlu dilapor dan ditangkap.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali berkata, tiada seorang pun ahli atau pemimpin dalam Warisan berkuasa mengeluarkan IC kepada mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

“Sekiranya ada mana-mana ahli atau rakan dalam Warisan katakan dia boleh memberi Kad Pengenalan (IC) kepada orang ramai sila maklumkan dan laporkan kepada kami. Kami akan pastikan individu yang berbuat begitu ditangkap,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sekalung Budi Seikhlas Penghargaan Bahagian Sandakan, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan (Adun) Sekong ini berkata, Kerajaan Negeri yang baharu dibawah pimpinan Warisan sentiasa terbuka menerima sebarang teguran daripada rakyat.

Katanya, setiap teguran dan kritikan membina akan membantu kepimpinan kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan dalam mentadbir negeri ini.

“Disebabkan kami masih baharu dalam pentadbiran kerajaan, kami bersedia menerima sebarang teguran.

“Kami terbuka untuk menerima teguran daripada rakyat kerana kita tahu kita masih mempunyai kekurangan yang perlu diperbaiki maka, tegurlah kami secara berhemah dan bukan dengan teriakan,” katanya.

Arifin juga menyarankan penjawat awam serta pesara kerajaan yang hadir dalam majlis itu supaya terus memberi sokongan berterusan kepada pemimpin kerajaan baharu yang diterajui oleh Warisan.

Beliau berkata, sokongan sebegitu amat penting dalam memastikan aspirasi yang ditetapkan dapat dilaksana dengan lancar demi kepentingan rakyat di Sabah.

“Terdapat 13 teras yang diperjuangkan dalam Manifesto Warisan. Salah satunya adalah ‘Menginovasikan keupayaan perkhidmatan awam’.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan hari ini memandang serius peranan perkhidmatan awam agar ianya dapat dilaksanakan dengan cepat, tepat dan berkualiti,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Awan Negeri Datuk Nordin Siman menyarankan pesara kerajaan supaya menjadi ejen kerajaan dalam membantu menyerbarkan dasar kerajaan secara tepat dan berkesan kepada rakyat dan masyarakat setempat.

Dalam majlis itu, seramai 71 orang pesara kerajaan dari bahagian Sandakan, Beluran dan Kinabatangan menerima penghargaan diatas persaraan mereka pada 2017 dan 2018.