Ahli Warisan Perlu Siap Sedia, Jangan Terlalu Yakin

112

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TOKYO, JEPUN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan semua ahli dan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak alpa, sebaliknya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang bakal diadakan.

Presiden Warisan itu berkata, walaupun yakin parti akan mendapat sokongan, namun mereka perlu mendampingi dan merayu kepada setiap pengundi untuk terus memberi sokongan dalam PRK itu nanti.

“Kita jangan alpa, kita perlu merayu kerana kita perlu mendampingi rakyat, bukan masanya panjang bagi kita untuk merealisasikan apa yang berlaku selama setahun lebih, hampir dua tahun bukan mudah melaksanakan perkara apa yang dikehendaki rakyat namun demikian saya yakin rakyat Sabah mempunyai harapan cukup tinggi kepada kerajaan negeri yang baharu,” katanya kepada Borneo Today di Tokyo, malam tadi.

Mohd. Shafie diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Beliau berkata, pengundi di Kimanis sebelum ini berharap kerajaan menyelesaikan beberapa isu di daerah itu terutama berkaitan tanah, justeru beliau akan berusaha untuk merealisasikannya.

“Baru-baru ini saya pun membuat lawatan ke tempat itu dah kita bawa sedikit inisiatif untuk kilang perabot di kawasan itu dan beberapa inisiatif insya-Allah kita akan realisasikan.

“Apa yang penting saya berharap kita perlu membuat persediaan anggota parti kita khususnya Warisan dan komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, PKR, DAP serta UPKO,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, beliau akan memanggil mesyuarat bersama semua pimpinan parti kerajaan sekembalinya dari misi pelaburan di Jepun.

Mengulas tentang calon, katanya, masih belum ada nama yang ditentukan kerana beliau perlu mendengar laporan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan kemungkinan besar Warisan akan bertanding tambahan pula calon mereka telah diletakkan di situ dalam pilihan raya umum lalu.

“Bila kita letak calon sesuatu yang tidak diingini berlaku dan alhamdulillah pihak mahkamah telah membuat keputusan tepat tetapi kita perlu merayu kepada pengundi-pengundi khususnya di Kimanis,” jelas beliau.

BERITA BERKAITAN :-

Anifah Ikut Jejak Abang Gagal Di Mahkamah, PRK Kimanis ‘On’

Ahli Warisan Jangan Bermegah, Fokus Beri Kemenangan Pada Parti