Ahli Warisan Perlu Kekalkan Disiplin, Jaga Imej Parti

SEMPORNA: Setiap ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) diingatkan untuk terus berdisiplin dan menjaga imej parti agar menjadi contoh yang baik kepada parti-parti lain di negeri ini.

Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, parti itu kini mempunyai sebanyak 300,000 ahli dan menjadi tumpuan umum, justeru setiap perkara tidak baik yang dilakukan boleh menimbulkan imej negatif.

Katanya, setiap ahli juga perlu sentiasa ingat dan meneruskan semangat asal penubuhan Warisan iaitu untuk membela nasib rakyat Sabah.

“Semua ahli harus ingat bahawa kita menjadi tontonan di seluruh negara, kita perlu menjadi contoh terbaik kepada parti lain yang terdapat dalam negara ini.

“Kini kita sudah menjadi kerajaan, semangat seumpamanya diperlukan bagi membantu melancarkan pembangunan negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri memberikan peringatan itu ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Kad Keahlian Parti Warisan Sabah Bahagian Semporna di sini hari ini.

Jaujan berkata, sokongan kuat diterima Warisan ketika ini yang terbukti apabila jumlah ahlinya meningkat setiap hari.

Mengulas tentang Warisan Semporna katanya, sebanyak 30,000 kad keahlian Warisan disampaikan dalam majlis berkenaan

“Ahli kita yang berdaftar di sini adalah 38,000 orang dan baki 8,000 ahli ini masih dalam proses kelulusan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Di sini kita juga mempunyai 686 cawangan Warisan tetapi yang layak hanya sejumlah 601 cawangan sahaja, namun hanya 22 sudah memperoleh sijil atau kod cawangan,” katanya.

Tambah Jaujan, setiap individu yang mahu menjadi pemimpin dan ahli Warisan mestilah bersemangat serta mempunyai kualiti perjuangan.

“Ahli Warisan perlu sentiasa bersabar dengan semangat yang ada agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujar beliau.