Beliau mendakwa laporan bertajuk ‘Rozman MP Labuan keluar Warisan sertai Muhyiddin?’ yang disiarkan sejurus sebelum senarai kabinet baharu diumumkan itu menjadi viral di pelbagai platform media sosial seperti Facebook serta WhatsApp, dan ia menimbulkan kekeliruan kepada ramai pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Saya telah membuat laporan polis terhadap blog itu bagi menuntut permohonan maaf secara terbuka berhubung laporan berkenaan, dan laporan polis itu juga sebagai langkah susulan untuk tindakan seterusnya, sama ada untuk meneruskan dengan tindakan undang-undang atau sebaliknya terhadap blog berkenaan,” katanya dalam satu persidangan media di sebuah hotel di sini hari ini.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan Sabahkini2 yang merosakkan reputasi saya… saya percaya laporan itu telah viral di seluruh negara dan saya harap penafian saya yang lengkap dengan infrogafik semalam (Isnin) dan hari ini, akan memberi penjelasan terhadap sebarang kekeliruan,” tambahnya.
“Ini adalah pendirian saya sebagai Ahli Parlimen Warisan Labuan.. saya akan kekal dengan Warisan dan bersedia untuk menjadi Ahli Parlimen pembangkang bagi menyuarakan hak Labuan dan Sabah,” tambahnya.