Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Dan Isteri Didakwa Jumaat Ini

Bung Mokhtar dan Zizie Ezette. – Gambar internet

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kinabatangan dan bekas pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat ini atas tuduhan berkaitan rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam kenyataan hari ini, berkata pasangan suami isteri itu bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh Datuk Seri Bung Moktar dan isterinya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SPRM hari ini (Rabu Mei 1, 2019) telah menahan Bung Moktar pada jam 10.50 pagi di SPRM Sabah manakala Zizie, yang juga seorang pelakon ditahan, di SPRM Putrajaya pada jam 11.15 pagi selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan Felcra.

Katanya kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Bung Moktar dilantik sebagai pengerusi agensi itu pada Julai 2013 dan meletak jawatan itu pada 1 Jun 2018 susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.

BERITA BERKAITAN: –

Ahli Parlimen Dari Sabah Dan Isteri Ditahan SPRM?