Ahli Keluar Parti, Warisan Tuaran Tidak Goyah

RAKAM SIJIM

TUARAN: Parti Warisan (Warisan) Bahagian Tuaran tidak goyah dengan tindakan sebilangan kecil ahli jawatankuasa Warisan keluar meninggalkan parti.

Ketua Bahagian Tuaran, Rakam Sijim berkata, walaupun kesal tetapi Warisan Bahagian Tuaran kekal kukuh.

“Warisan bahagian ingin mengucapkan terima kasih atas segala jasa yang diberi sepanjang perjuangan mereka bersama Warisan dan kita ucapkan selamat berjaya dengan apa juga wadah politik yang dipilih.

“Di peringkat parti, kita akan terus memperhebatkan lagi pengambilan ahli baru, memperbanyakkan cawangan serta mempersiapkan barisan pemimpin pelapis supaya terus kekal relevan dalam pentas politik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Warisan Bahagian Tuaran berpendirian kekal teguh meneruskan perjuangan yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal untuk mengembalikan hak-hak rakyat Sabah serta membawa perubahan yang lebih baik di peringkat nasional.