AHLB SK Balambangan Bantu Selesai Masalah Pelajar

142

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Penyiapan Asrama Harian Luar Bandar (AHLB) Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, Banggi menamatkan kesukaran hidup dilalui kira-kira 70 pelajar di sekolah itu yang berdepan masalah untuk ke sekolah disebabkan faktor cuaca dan jarak sekolah yang jauh.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, arama yang dibina dengan kos sejumlah RM5juta yang siap pada September itu merupakan komitmen berterusan Petronas dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan di negeri ini.

Beliau berkata, menyedari pendidikan merupakan kunci bagi mengubah masyarakat ke arah lebih baik maka, Petronas amat menekankan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam bidang pendidikan sebegini.

“Pembangunan modal insan merupakan ejen perubahan yang mampu meningkatkan taraf kehidupan serta membentuk generasi pelapis kepimpinan masa hadapan.

“Sehingga kini, program pembangunan pendidikan dan modal insan Petronas telah memberi manfaat kepada lebih 6,000 pelajar dari 12 institusi pendidikan di Sabah,” katanya dalam Majlis Penyerahan AHLB SK Balambangan, Banggi, di sini pada Sabtu.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal yang turut menyaksikan penyerahan asrama berkenaan daripada Petronas kepada Kementerian Pendidikan.

Penyerahan itu disempurnakan antara Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Murid Bahagian Pengurusan Asrama Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia Faridah Yang Razali.

Pembinaan asrama itu antara salah satu projek infrastruktur pendidikan tajaan Petronas dalam membantu meningkatkan akses pendidikan kepada pelajar di Sabah.

Satu lagi projek Petronas adalah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau yang sedang dalam pembinaan. Projek itu dijangka siap pada 2022.

AHLB ini melibatkan pembinaan dua blok asrama bagi murid lelaki dan perempuan, dewan makan, surau dan tandas. Ia mampu menempatkan 120 orang pelajar dalam satu-satu masa.

BERITA BERKAITAN :-

Shafie, Ketua Menteri Pertama Berkunjung Ke Pulau Balambangan