Agong Lantik Dr. Mahathir PM Interim

MAHATHIR MOHAMMAD

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Politik tanah air bergolak selepas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan melalui surat yang diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong tengah hari tadi.

Dr. Mahathir turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, enam jam selepas itu, Pejabat Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan memaklumkan  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menerima peletakan jawatan itu kemudiannya berkenan melantik semula Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.

“Walau bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru itu, selaku Perdana Menteri interim, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet yang baharu dibentuk,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas Dr. Mahathir mengadakan pertemuan dengan Seri Paduka selama 90 minit di Istana Negara petang ini.

Selain peletakan jawatan Dr. Mahathir pergolakan politik yang berlaku turut menyaksikan Pakatan Harapan (PH) terbubar dan hilang majoriti membentuk kerajaan selepas Bersatu mengumumkan keluar daripada gabungan itu.

Pada masa sama 11 Ahli Parlimen PKR turut mengisytiharkan keluar parti menyebabkan PH kini secara logik hanya tinggal 92 kerusi berbanding jumlah 112 Parlimen untuk membentuk majoriti mudah.

Semalam, pergolakan politik itu bermula selepas dikatakan kerajaan baharu akan dibentuk melalui kerjasama antara Bersatu, BN, Warisan dan GPS.

Bagaimanapun hari ini, tiga komponen PH iaitu PKR, Amanah dan DAP menyatakan sokongan kepada Dr. Mahathir untuk terus menjawat jawatan itu selepas beliau melepaskan jawatan.