Agong Dukacita Rasuah, Penyelewengan Dalam Kerajaan Masih Berlaku

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari Isnin menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.

Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Justeru, beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran,” titah baginda ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri S. A. Vigneswaran, barisan jemaah menteri, Anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tetamu jemputan serta dif kehormat.

Seri Paduka, dalam satu laporan Bernama, turut merakamkan penghargaan ke atas kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kadar jenayah, membasmi fahaman radikal dan ajaran-ajaran sesat serta ideologi militan yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

“Tidak dilupakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memainkan peranan sangat penting dalam menjaga keselamatan negara, tanpa kita sedari pengorbanan mereka tidak terhingga demi tanah air tercinta.

“Beta serta kerajaan akan terus memperkukuhkan kedua-dua pasukan keselamatan tersebut,” titah Seri Paduka dan menambah, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan perolehan kelengkapan dan kenderaan, menjaga kebajikan anggota seperti menyediakan kuarters dan sebagainya.

Sultan Muhammad V juga mengalu-alukan langkah kerajaan menempatkan lebih banyak aset dan fasiliti keselamatan seperti pangkalan operasi hadapan helikopter serta ‘Sea Basing’ di perairan Pantai Timur Sabah bagi meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.

Kerjasama dan persefahaman yang telah dicapai dengan kerajaan Filipina berhubung kawalan keselamatan di Laut Sulu telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutama dalam bidang keselamatan, titah baginda. Menyentuh keadaan ekonomi bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh, kerajaan komited untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020.

Sultan Muhammad V juga bertitah penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia memberi kesan terhadap rakyat, namun penyusutan ringgit adalah disebabkan oleh faktor luaran dan dalaman.

“Beta percaya, kerajaan akan bertindak dengan komitmen sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” titahnya.

Mengenai langkah mengurangkan beban rakyat terutama kumpulan B40 (pendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (40 peratus pertengahan), Seri Paduka percaya pelbagai inisiatif dijana termasuk pemberian subdisi bersasar, meningkatkan kadar dan mempelbagaikan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan kepada peniaga kecil dan sebagainya.

Menyentuh soal pemilikan rumah untuk golongan sasar, Seri Paduka bertitah setakat ini 77.1 peratus daripada sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 2013 hingga 2018 berada pada peringkat pelaksanaan termasuk yang telah siap.

Seri Paduka turut memuji penekanan kerajaan terhadap pembangunan prasarana dan pengangkutan awam terutamanya yang berasaskan rel seperti Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), Transit Aliran Massa (MRT), Laluan Rel Pantai Timur dan sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi meningkatkan hubungan dan mobiliti rakyat.

Menyentuh mengenai usaha melindungi kanak-kanak daripada penjenayah seksual yang mengeksploitasi mereka, Seri Paduka bertitah kerajaan akan membentangkan rang undang-undang jenayah seksual kanak-kanak untuk menangani masalah itu secara komprehensif.

Mengulas mengenai kedudukan dan kesucian agama Islam, Seri Paduka berharap langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan, termasuklah meneruskan penguatkuasaan pentadbiran agama Islam.

Terdahulu, Sultan Muhammad V yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Disember tahun lepas berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 di dataran Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 6 April sementara Dewan Negara bersidang selama sembilan hari dari 17 hingga 27 April.