Agong Berahmah Mesra Bersama Rakyat Di Labuan

58

LABUAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku  Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat ke Majlis Rahmah Bersama Rakyat dan Pengurniaan Bantuan Kepada asnaf di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan malam ini.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua berkenan mengurniakan bantuan zakat kepada golongan asnaf iaitu bantuan peralatan persekolahan bagi sesi pembelajaran tahun 2020 dan bantuan am pelajaran institusi pengajian tinggi.

Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua turut berkenan mengurniakan insentif khas pelajar cemerlang dan biasiswa baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan bantuan peralatan kesihatan kepada golongan Asnaf.

Jumlah keseluruhan bantuan yang dikurniakan pada malam majlis itu ialah RM2.43 juta.

Lebih 900 orang rakyat Labuan, pelbagai agama dan bangsa, termasuk golongan Asnaf, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin setempat hadir dalam majlis itu.

Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua turut berkenan menyantuni golongan asnaf dan para hadirin di majlis itu.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua ke Labuan merupakan lawatan kerja sulung Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah semenjak  ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Hadir dimajlis ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli

Turut hadir ialah pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee dan ketua pegawai eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh.