Agong Batal Semua Jawatan Menteri, Timbalan Menteri Persekutuan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU:  Kabinet Persekutuan termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah dibatalkan hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd. Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, pembatalan itu diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Berikutan itu, semua jawatan timbalan menteri dan setiausaha politik juga turut terbatal.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk membatalkan pelantikan Menteri-Menteri atas nasihat Perdana Menteri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, tugas-tugas Anggota Pentadbiran (merangkumi Timbalan Perdana Menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama,” katanya.

Terdahulu hari ini, Seri Paduka telah berkenan melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim sehingga individu yang layak ke jawatan itu dilantik dan Kabinet baharu dibentuk.