Agihan Komputer Dibawah CERDIK Berat Sebelah – MP Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: Pengagihan komputer riba dan peranti di bawah inisiatif CERDIK berat sebelah mengikut keperluan politik.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, beliau amat kecewa dengan pengagihan komputer riba dan peranti di bawah inisiatif CERDIK yang nampaknya mengalami kelewatan yang agak serius.

Beliau berkata, CERDIK merupakan inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bertujuan untuk menyediakan akses digital yang terdiri daripada komputer riba, tablet dan sambungan data bernilai RM150 juta kepada sekurang-kurangnya 150,000 murid sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) semasa pandemik Covid-19.

Namun, inisiatif yang mulia ini nampaknya mungkin gagal mencapai matlamat atas sebab-sebab seperti terdapat kelewatan yang melampau dalam pengagihan laptop tersebut.

“Saya dimaklumkan di parlimen bahawa terdapat 262 komputer riba atau peranti yang akan diagihkan kepada dua sekolah di kawasan parlimen Kota Kinabalu. Menurut jawapan daripada Menteri Pendidikan, Sehingga 25 September 2021, 33,264 (18,770) diterima dari Yayasan Hasanah dan akan agih manakala, 14,494 belum diterima dari Yayasan Hasanah) unit komputer riba dan peranti belum lagi diagihkan kepada penerima.

Kini sudah Oktober, tetapi 262 komputer riba / peranti bagi kawasan Kota Kinabalu masih lagi berstatus “akan agih”. Ini menunjukkan kelewatan yang sangat melampau.

Selain itu, terdapat ketidakseimbangan ataupun berat sebelah dalam pengagihan komputer riba atau peranti tersebut.

Terdapat 25 sekolah di Kota Kinabalu tapi, mengapa hanya murid daripada dua sekolah sahaja yang akan diberikan komputer riba atau peranti ini? Adakah ia sebab beliau bukan penyokong kerajaan?

Selain itu, kawasan-kawasan parlimen pembangkang lain yang masih belum menerima komputer riba atau peranti (beratatus akan agih) adalah Kota Melaka (93), Seputeh (63), Bukti Bendera (57), Cheras (45), dan Bukit Bintang (12).

Ketidakseimbangan ini juga boleh dilihat hanya dengan membandingkan jumlah komputer riba atau peranti yang diperuntukkan bagi kawasan-kawasan parlimen tersebut dengan kawasan parlimen yang lain seperti Sepanggar (2,060), Silam (2,510), Semporna (1,831), dan Sepang (1642), Sungai Buloh (1352) dan Hulu Selangor (1276). Adakah kerusi-kerusi yang kini disandang ahli parlimen parti pembangkang tersebut merupakan sasaran parti pemerintah dalam PRU nanti?

Di kawasan parlimen Tuaran (500), difahamkan bahawa sekolah menengah di kawasan DUN Sulaman – kawasan Ketua Menteri Sabah, telah diberikan keutamaan dan diagihkan terlebih dahulu. Ini tidak adil.

Sekiranya terdapat 222 kawasan parlimen dan 150,000 komputer riba atau peranti untuk diagihkan, maka secara purata setiap kawasan parlimen harus menerima 675 komputer riba atau peranti.

“Ini membangkitkan persoalan sama ada inisiatif CERDIK telahpun di “hijack” oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan mendapatkan keuntungan politik.

“Ia menunjukkan bahawa mungkin terdapat penyalahgunaan kuasa dalam penentuan pengagihan komputer riba atau peranti dalam inisiatif CERDIK ini.

“Saya dengan ini memohon agar kerajaan menjelaskan mengapakah berlakunya ketidakseimbangan pengagihan ini, dan apakah kriteria dan kelayakan untuk mendapatkan komputer riba dan peranti ini.

“Saya juga menggesa agar kerajaan untuk bertindak adil dalam pengagihan komputer riba atau peranti ini supaya keadaan berat sebelah tidak berulang lagi,” jelasnya.