Agenda Borneosasi Terus Jadi Keutamaan Pakatan Harapan Sabah – Roketkini

984
Pemimpin Pakatan Harapan Sabah dari Amanah, DAP and PKR bersama Ketua Umum PKR Malaysia, Wan Azizah Wan Ismail di majlis Pra-Pelancaran Manifesto Tawaran Baru Jumaat lalu.

KOTA KINABALU: Agenda Borneosasi terus menjadi keutamaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah dalam rangka manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 melalui pulangan hasil dan pengukuhan autonomi dengan penambahan bidang kuasa pentadbiran kepada wilayah itu.

Perkara itu diumumkan dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia dan Pra-Pelancaran Manifesto Tawaran Baru di sini, Jumaat lalu.

Manifesto “Tawaran Baru Sabah Dan Sarawak” itu dibuat bagi mengiktiraf kedudukan setara dua wilayah Borneo itu dalam Persekutuan Malaysia selaras Perjanjian Malaysia 1963.

Manifesto itu menyebut, jawatan Ketua Menteri akan dicadang supaya dihadkan kepada dua penggal dan juga tidak harus menyandang sebarang jawatan Menteri Kanan yang lain.

“Kedua, kerajaan Harapan akan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dan memberi kuasa pentadbiran kepada dua wilayah ini meliputi bidang pendidikan, kesihatan, pengangkutan, pelancongan dan keselamatan sosial,” kata manifesto itu diikrarkan pimpinan.

Sidang media Pakatan Harapan.

Perluasan bidang kuasa Kerajaan Sabah itu adalah berdasarkan Borneonisasi jabatan awam supaya pentadbiran dan pembangunan Wilayah berorientasi kepimpinan tempatan.

Ketiga, kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengkaji semula dan mengambil tindakan susulan berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) Pendatang Asing Tanpa Izin Sabah 2012.

Ia bertujuan bagi menyelesaikan isu Kad Pengenalan (MyKad) yang berpanjangan dan membersihkan senarai pemilih untuk mengembalikan hak demokratik kepada rakyat sejajar dengan autonomi imigresen.

“Keempat, Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menaikkan royalti Petroleum kepada 20%sebagai agihan hasil Petroleum yang lebih adil bagi mengimbangi jurang pembangunan di antara Wilayah dan Persekutuan melalui mekanisme yang telus dan sasaran yang tepat supaya hasilnya sampai kepada rakyat sebagai tuan milik sumber asli ini,” ikrar Harapan.

Kelima, Kerajaan Pakatan Harapan akan membahagikan hasil perolehan Wilayah dengan Persekutuan yang lebih saksama dengan 50% hasil dari Sabah dan Sarawak ke Persekutuan dikembalikan kepada dua wilayah ini untuk mempercepatkan pembangunan.

Keenam, Kerajaan Harapan akan memperkenal dan melaksanakan Polisi Berfokuskan Pendidikan (PBP) berdasarkan identiti tempatan Sabah.

Majlis pra-pelancaran itu telah dihadiri oleh Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail; Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai; Ketua PKR Sabah Christina Liew (Pengerusi Harapan Sabah); Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong dan Ketua Amanah Sabah, Hamzah Abdullah bersama seluruh kepimpinan tempatan dan nasional. – Roketkini