ADUN Sugut Sumbang RM30,000 Kepada Masjid Tia Jia, Linxia

952
Masjid Tia Jia, Linxia, China.
Masjid Tia Jia, Linxia, China.

KOTA KINABALU – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib menceriakan jemaah Masjid Tia Jia, Linxia, China apabila menyumbang 50,000 yuan (RM30,000) sewaktu kunjungan delegasi Dewan Undangan Negeri Sabah.

James berkata sumbangan itu adalah untuk pelajar miskin dari kawasan luar bandar yang menghadiri kelas agama yang dikendalikan masjid tersebut.

“Saya memutuskan untuk menderma selepas dimaklumkan pegawai masjid berkenaan mengenai keluhan pelajar yang mengalami kesukaran menjalani kehidupan kerana mereka adalah daripada keluarga miskin,” kata James dalam kenyataan yang dihantar ke pejabat Bernama di sini Sabtu.

James, antara delegasi 10 anggota yang diketuai Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang, berkata sumbangan itu juga sebagai pengiktirafan kepada hubungan baik antara orang Islam di Malaysia dan China.

James Ratib
James Ratib

Beliau juga mendapati jemaah di masjid itu yang terletak di tengah-tengah bandar raya Linxia, begitu ramah walaupun menghadapi masalah bahasa.

Terdahulu delegasi itu hadir pada majlis makan tengah hari yang dihoskan Timbalan Gabenor Wilayah Autonomi Hui Linxia, Shang Jinxi yang turut dihadiri pegawai kanan tempatan.

Delegasi itu juga diberitahu bandaraya Linxia berkeluasan 8 kilometer persegi mempunyai dua juta penduduk dengan 52 peratus daripadanya adalah Muslim.

Semasa di situ, delegasi itu turut melawat pusat makanan halal, muzium fosil haiwan, muzium tembikar purba dan kilang permaidani.

Selain Teo dan James, anggota delegasi lain ialah timbalan speaker, Datuk Johnny Mositun dan Datuk Dr Johnson Tee, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Yong Oui Fah, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, ADUN Kepayan, Dr Edwin Bosi dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Bernard Dalinting.

Delegasi itu yang ke China atas undangan kerajaan republik berkenaan menerusi Konsulat China di sini, sebelum ini turut melawat Hangzhou dan Beijing.

Kesempatan itu juga diambil oleh delegasi berkenaan untuk menyampaikan risalah mengenai tarikan pelancongan di Sabah.