ADUN Sugut Minta JKR Segera Baiki Jalan Runtuh Di Paitan

JAMES RATIB

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut Datuk James Ratib meminta agar pihak berwajib khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi  segera mengambil tindakan membaiki tanah runtuh di Jalan utama di Paitan, Beluran.

Beliau berkata jalan berkenaan adalah jalan utama yang sangat penting untuk perhubungan penduduk khususnya petani ke beberapa kawasan yang perlu melalui jalan berkenaan.

“Oleh itu sebelum JKR dan syarikat konsesi menjalankan kerja-kerja pembaikan, saya telah mengarahkan beberapa jentera yang ada berhampiran kawasan ini untuk membuat satu jalan alternatif untuk laluan sementara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan berkenaan, dekat sini, hari ini.

Jalan utama di Paitan, Beluran mengalami tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan kira-kira jam 11 malam tadi menyebabkan bangunan Jabatan Air Paitan tergelongsor.

Tanah runtuh berkenaan menyebabkan Jalan Nangoh Paitan Kanibungan terputus dan tidak boleh dilalui melibatkan 80 meter anggaran jarak yang rosak akibat tanah runtuh itu dan kini JKR telah meletakkan tanda untuk menutup jalan berkenaan.