ADUN Sebatik Bebas Buat Pilihan – Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyatakan setiap wakil rakyat bebas memilih halu tuju politik masing-masing.

Katanya, beliau tidak mahu menilai tindakan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A.Gani Pg Amir kerana dia bebas membuat pilihan.

Beliau berkata, beliau juga tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai lebih ramai wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dikatakan akan turut mengikut jejak ADUN Sebatik yang keluar Warisan bagi menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, politik adalah satu proses yang sukar dijangka kerana tidak tahu apa akan berlaku seterusnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin yang timbul selepas tindakan ADUN Sebatik, Hassan A.Gani Pg Amir yang keluar dari Warisan semalam.

Khabar angin menyatakan enam lagi ADUN Warisan dijangka keluar parti bagi menyokong kerajaan GRS.