ADUN Nabawan Tidak Menolak Kemungkinan Kembali Kepangkuan UPKO

1754
Bobbey Suan sedang berbual dengan Ewon Benedick diacara di Nabawan baru-baru ini. – Gambar ihsan Maryanne Razan

PENSIANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan Datuk Bobbey Suan tidak menolak kemungkinan akan kembali ke pangkuan parti asalnya iaitu Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Bobbey berkata jika itu yang dikehendaki majoriti rakyat serta ahli-ahli parti di kawasan yang diwakilinya itu, beliau akur dengan kehendak rakyat dan mengenepikan hal yang bersifat peribadi.

“Kita ambil pandangan dan pertimbangan kepada semua perkara yang bersifat majoriti ….sebenarnya kita ke arah itu (kembali kepada UPKO).

“Untuk menentukan keterusan politik, saya mengenepikan hal-hal peribadi. Sudah tentu rakyat memahami situasi saya selama ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kebaktian Natal dan Tahun Baharu 2019 anjuran Majlis Gereja-Gereja Nabawan (MGGN) di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick. Turut hadir pemimpin-pemimpin kanan Parti WARISAN serta pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Bobbey yang bertanding empat penjuru atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya meraih undi sebanyak 5,474 menewaskan tiga calon lain iaitu Ahuar Rasam (WARISAN) mendapat 3,402 undi, Apandy @ Lukan Angindin (PHR) mendapat 165 undi dan Angin @ Nasaruddin Lambahan (Parti Cinta Sabah) sebanyak 156 undi.

Namun, selepas PRU14 tahun lalu, beliau kemudiannya mengambil keputusan keluar daripada UPKO selepas menjadi wakil rakyat selama empat penggal di Nabawan, berikutan kemelut politik Sabah yang semakin tegang pada ketika itu.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau tidak menyertai mana-mana parti politik meskipun bersama parti Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang diasaskan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

“Saya Bebas dan tidak mewakili mana-mana parti sehingga sekarang. Kita tengok keadaan sekarang ini di mana yang kondusif bagi kita dan juga untuk rakyat,” katanya.