ADUN Luyang Pertikai Keberkesanan Pembangunan Sky Train

KOTA KINABALU: Poong Jin Zhe (DAP-Luyang) mempertikaikan langkah kerajaan ingin membina Sky Train yang memerlukan kos RM1bilion di Sabah.

Beliau berkata, kajian kemungkinan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi melihat manfaat projek ini kepada rakyat di negeri ini.

Jika pembinaan itu tidak kos efektif, kerajaan seharusnya memikirkan langkah lain yang lebih berkesan seperti pembinaan sistem pengangkutan lain yang mampu dimanfaatkan oleh rakyat.

“Adakah pembangunan Sky Train ini mampu mencapai tujuan yang kita inginkan iaitu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah trafik di bandaraya ini.

“Berdasarkan laporan media, fasa pertama laluan Sky Train ini akan membelanjakan sebanyak RM 1 bilion. Ertinya, laluan sepanjang 10 kilometer ini dijangka menggunakan RM100 juta setiap kilometer. Kos ini agak tinggi berbanding sistem-sistem lain seperti rel ringan (light rail) yang beroperasi “at-grade”.

“Saya ingin tanya apakah justifikasi kepada kos pembinaan yang tinggi tersebut? Adakah kerana ia berjalan atas jejambat ataupun elevated? Kenapa kita mesti guna sistem elevated sedangkan kita masih ada tanah yang kosong untuk sistem rel at grade,” katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Jin Zhe juga meminta kerajaan negeri untuk mengadakan sesi penerangan awam kepada warga Kota Kinabalu bagi menjelaskan pengagihan kos dan jelaskan kadar tambang yang akan dicadangkan.

Semasa zaman Barisan Nasional (BN), kerajaan mahu membina sistem Bus Rapid Transit (BRT) Kota Kinabalu namun, akhirnya apa pun tidak nampak.

Kini kerajaan GRS pula merancang sistem Sky Train, sistem yang bukan aliran utama (mainstream) di seluruh dunia, adakah ini betul-betul akan direalisasikan dan betul-betul membawa manfaat untuk bandaraya ini.

Jika dilihat, setakat ini hanya di bandar kecil di Jerman dan Jepun ada sistem Sky Train. Hakikatnya, sistem ini bukanlah sistem rel aliran utama ataupun mainstream di seluruh dunia.

“Jadi kenapa Kota Kinabalu mahu bina sistem tersebut sedangkan kita mempunyai banyak lagi pilihan lain yang dibuktikan berkesan dan efektif dalam membantu sesebuah bandar mengatasi masalah trafik seperti sistem pengangkutan trams, monorel, rel ringan dan sebagainya,” katanya.