ADUN Kuamut Lawat Mangsa Kebakaran, Serah Bantuan Barangan Asas

Salah seorang mangsa memeluk Masiung kerana tidak dapat menahan kesedihan akibat rumahnya musnah terbakar.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Penderitaan dialami 56 keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batung, Penangah mendapat perhatian segera wakil rakyat di situ, Datuk Masiung Banah.

Masiung yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut tiba di kampung itu pada pukul 9 pagi ini bersama pegawai agensi kerajaan untuk menyerahkan pelbagai bantuan terutama keperluan asas untuk mangsa.

Beliau berkata, walaupun sumbangan itu tidak seberapa, namun diharap dapat meringankan beban dipikul setiap mangsa dan pada masa sama tindakan susulan akan diambil untuk menyediakan tempat tinggal baharu.

Salah seorang mangsa menerima bantuan yang disampaikan Masiung di Dewan Serbaguna Penangah.

“Sekarang semua mangsa tinggal sementara di Dewan Serbaguna Penangah dan Gereja St. John.

“Untuk tiga hari ini, pihak Jabatan Kebajikan menyediakan keperluan makan dan minum mangsa kemudian selepas itu semua mangsa serta penduduk kampung akan tubuhkan jawatankuasa bagi bergotong-royong untuk memasak.

“Saya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa atas kejadian yang tidak diduga, justeru saya berharap bantuan keperluan asas iaitu makanan serta minuman dapat ringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Masiung meninjau kawasan kebakaran di Kampung Batung, Penangah yang memusnahkan 32 buah kediaman pagi ini.

Katanya, penduduk dari kampung berhampiran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana individu juga diseru tampil menghulur bantuan terutama pakaian kepada mangsa atas semangat kemanusiaan.

Masiung berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan sejak sebelum ini lagi telah merancang pembinaan penempatan baharu kepada penduduk di situ kerana rumah-rumah yang dibina sekarang terlalu rapat dan tidak selamat jika berlaku kebakaran.

Atas sebab itu katanya, Kerajaan Persekutuan diharap dapat menyegerakan peruntukan pembinaan jambatan merentasi Sungai Milian kerana projek tersebut telah pun diluluskan dan hanya tinggal dilaksanakan.

Keadaan lokasi kebakaran yang memusnahkan 32 rumah kediaman.

“Kalau ada sudah jambatan maka pembinaan penempatan baharu penduduk pun akan berjalan sama serta selepas ini mereka lebih mudah berurusan.

“Sebelum ini kita sudah nasihatkan mereka jangan bina rumah terlalu rapat tetapi saya faham kerana di situ ada sungai,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap pembinaan jambatan itu dipercepatkan kerana cadangan tersebut dibawa oleh wakil rakyat bertujuan untuk kebajikan rakyat Penangah.

BERITA BERKAITAN: –

Warga Emas Korban Kebakaran Di Penangah

Kebakaran Musnahkan Puluhan Kediaman Di Daerah Penangah