ADUN Kerajaan Terima RM100,000 Seorang Untuk Bantu Rakyat

1555
Wakil rakyat kerajaan hadir semasa Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bagi Orang Susah 2019 hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 38 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan akan menerima geran berjumlah RM100,000 seorang untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong berkata, setiap ADUN perlu menandatangani surat aku janji terlebih dahulu sebelum dana berkenaan diberikan bagi memastikan wang itu dibelanjakan mengikut objektifnya.

Katanya, setiap wang yang telah dibelanjakan juga akan diaudit bagi mengelakkan berlaku sebarang perbuatan pecah amanah.

“Wang itu disalurkan kepada semua ahli-ahli yang berhormat,tetapi ada garis panduan yang perlu dipatuhi seperti bagaimana isi borang, menandatangani penerimaan oleh penerima dan sebagainya.

“Jadi RM100,000 yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan ini boleh memberi bantuan kepada keseluruhan rakyat dalam kawasan masing-masing dan juga mengurangkan beban kepada mereka yang selalu ditagih oleh penduduk-penduduk ini,” katanya.

Beliau berkata demikian, selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bagi Orang Susah 2019 hari ini.

Stephen berkata, pemberian geran itu sudah diamalkan sejak tahun 2006 oleh kerajaan terdahulu namun tidak pernah diumum secara terbuka seperti kerajaan pada hari ini.

Katanya, bagi kawasan yang diwalili ADUN pembangkang, rakyat masih boleh memohon bantuan di pejabat ADUN kerajaan kerana peruntukan berkenaan adalah untuk kesemua rakyat.

Tambahnya, jumlah bantuan yang ditetapkan untuk rakyat adalah RM200 kepada mangsa bencana, kemalangan dan kematian manakala RM500 untuk pesakit kronik.