ADUN Kapayan, Senator, MP KK Turun Padang, Bersih Kawasan Terjejas Banjir

PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang lantas turun meninjau ke kawasannya susulan banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan Kapayan termasuklah di Penampang pada Sabtu lalu.

Petang semalam, Jannie yang juga merupakan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah memberikan bantuan makanan kepada penduduk di Kampung(Kg) Tunoh, Kg. Hungab serta pusat pemindahan banjir di Dewan Kebudayaan Penampang.

Selain itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau ketua kampung di kampung terbabit juga diberikan bantuan alat pembersihan.

“Saya bersimpati dgn semua penduduk kawasan Kapayan yang dilanda banjir.

“Paras sungai Moyog masih diparas tinggi dan sekiranya hujan masih berterusan kemungkinan paras air akan meningkat yang boleh menyebabkan banjir.

“Sila ambil langkah berjaga-jaga untuk pastikan barang-barang penting dan ahli keluarga dalam keadaan yang selamat,” katanya dalam akaun Facebooknya hari ini.

Sementara itu, pada pagi ini, senator Adrian Lasimbang dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin turut turun padang bersama-sama ADUN Kapayan itu untuk membersihkan kawasan Sekolah Menengah St. Michael Penampang.