ADUN Elopura Nafi Lompat Parti

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun menafikan khabar angin yang mendakwa beliau antara wakil rakyat yang menerima tawaran untuk menukar parti.

Ket Kiun sebaliknya mempertahankan pendiriannya untuk bersama parti DAP dan menegaskan tumpuannya hanya untuk menjaga kebajikan serta hak rakyat.

Dalam kenyataannya hari ini, Ket Kiun berkata, khabar angin itu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab bukan saja merosakkan reputasinya, malahan mempengaruhi kehidupan peribadi beliau.

Beliau juga tidak menafikan terdapat beberapa pihak cuba menawarkan sejumlah besar wang, selain jawatan timbalan ketua menteri sebagai dorongan untuk keluar parti, namun beliau menolak kerana mahu bersama dengan DAP.

“Saya tidak akan menyimpang daripada pendirian politik dan saya berharap mereka dapat berhenti daripada keinginan untuk memancing saya keluar parti dengan menawarkan ganjaran.

“Saya dengan ini menyatakan dengan tegas bahawa kedudukan saya, parti saya dan orang-orang tetap tidak berubah.

“Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana merasa saya layak untuk diberi tawaran tersebut. Saya pasti dapat membawa lebih banyak dana dan pembangunan ke kawasan saya, tetapi jika dengan cara mengkhianati parti dan rakyat, saya minta maaf, saya tidak berminat,” katanya.

Ket Kiun berkata, rakyat sedar bahawa pembangunan sesebuah kawasan bergantung terhadap jumlah dana yang diperuntukkan dan jika lebih banyak dana, daerah ini lebih cepat dibangunkan.

Bagaimanapun, katanya, bukan mudah peruntukan diluluskan biarpun banyak projek pembangunan dikemukakan susulan perubahan kepimpinan di peringkat kerajaan Pusat.

“Justeru, kami berharap pengundi dapat memahami bahawa wakil rakyat daripada DAP sedang bekerja keras untuk rakyat,” katanya.