ADUN Bugaya Beri Amaran Jangan Sebar Berita Palsu

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Buka Mohd. Darah bukan sahaja menafikan tetapi turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang ingin menyebarkan maklumat palsu mengenai pendiriannya terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan).

Terdahulu, sekeping gambar yang menggunakan alamat laman sesawang borneotoday.net yang melaporkan kenyataan ADUN itu meninggalkan Warisan tular di media sosial.

Menurut beliau, segala perkara yang ditulis berkenaan berita yang tersebar tersebut adalah palsu dan fitnah semata-mata.

“Saya menyeru agar sebarang penyebaran dan perkongsian berkenaan berita tersebut dihentikan serta merta.

“Pihak saya tidak akan berlembut hati dengan mana-mana individu atau kumpulan yang bertanggungjawap dalam penyebaran berita palsu berkenaan.

“Tindakan undang-undang akan diambil secepatnya bagi mereka yang terlibat dan bertanggungjawab menyebarkan berita palsu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, beliau tetap utuh berpegang kepada mandat rakyat yang telah mengundi beliau pada  pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan terus setia menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam menerajui Parti Warisan Sabah.