Adun Bebas Sertai Warisan, Kedudukan Warisan Makin Kukuh

Shafie Apdal dengan Musbah, kanan, dan datuk Peter Anthony pada sidang media.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kemasukan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) mengukuhkan lagi kedudukan Warisan di Sabah dengan memiliki 30 kerusi DUN.

Pada Jumaat, Adun Tempasuk Datuk Musbah Jamli menyerahkan borang penyertaan untuk meneruskan perjuangan politiknya bersama-sama Warisan yang dilihat mampu membela hak-hak rakyat Sabah.

Berikutan itu, Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal menjangka lebih ramai Adun bebas akan menyertai parti itu.

Katanya, beliau ada bertemu beberapa orang Adun bebas namun, beliau memberi masa kepada mereka untuk membuat keputusan.

”Saya tidak rasa kita boleh memaksa mereka. Dalam politik, perjuangan bergantung kepada kesediaan.

”Apa yang lebih utama adalah kepentingan rakyat kerana kita berada di sini (dalam kerajaan) bukan kerana parti kita, kita berada di sini kerana rakyat memberi kepercayaan dan sokongan kepada kita.

”Atas sebab itu, apa yang penting adalah mengambil kira suara rakyat. Kita tidak boleh mengambil ringan suara rakyat. Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu rakyat telah bersuara melalui undian yang dibuat. Ia cukup jelas bahawa mereka mahukan perubahan.

”Apa yang penting sekarang bagaimana kita menterjemahkan perubahan selaras dengan hasrat dan cita-cita rakyat,” katanya ketika ditemui semasa Sidang Media sempena penyerahan borang menyertai Parti Warisan Sabah oleh Adun Tempasuk, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Ditanya tentang kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Bung Mokhtar yang menyatakan Warian pernah mempelawa beliau ke dalam parti itu, Mohd Shafie berkata, pelawaan itu dibuat sebelum PRU lalu.

”Semasa pembentukan Warisan, saya memang ada berjumpa dengan Bung tapi beliau mempunyai pendirian sendiri dan mahu kekal bersama Umno.

”Itu adalah kali terakhir saya berjumpa dengannya. Saya belum berjumpa Bung sejak dari itu,” jelasnya.

Mohd Shafie bagaimanapun mempelawa Adun Bebas yang lain untuk bersama-sama menyokong perjuangan kerajaan demi kepentingan rakyat Sabah.

Mengenai penyertaan Musbah, beliau menerima kemasukan Adun Tempasuk ke dalam Warisan demi kesatuan rakyat di negeri ini.

”Adun Tempasuk ini bertemu saya dan menyatakan hasrat menyertai Warisan. Setelah meneliti secara mendalam, saya memutuskan untuk menerimanya agar masyarakat di DUN Tempasuk lebih terbela.

”Kita mahu memastikan kesatuan rakyat dapat disatupadukan sebaik mungkin. Apabila politik semakin mantap dan stabil, itu akan membolehkan pembangunan dapat dilakukan dengan lebih lancar. Ia sekaligus akan mampu menarik minat pelabur asing untuk datang ke Sabah,” ujarnya.

Katanya, tiada sebarang imbuhan atau pangkat ditawarkan namun, Musbah tetap ingin menyertai Warisan setelah berfikir secara mendalam tentang kepentingan rakyat di kawasan DUN berkenaan.

Penyertaan Adun Tempasuk itu membolehkan kerajaan Warisan bersama PKR, DAP dan Upko kini mempunyai 45 daripada 65 kerusi DUN Sabah.