Adiwira ‘Spiderman’ Dan ‘Captain Marvel’ Curi Perhatian di PPV UMS

KOTA KINABALU: Tampil dengan kostum unik sebagai adiwira ‘Spiderman’ dan ‘Captain Marvel’ mencuri perhatian kakitangan dan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

Ketibaan mereka di PPV pada 2 petang dengan kostum lengkap itu membuatkan ramai mata memandang dan seterusnya mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama dua adiwira yang merupakan pasangan suami isteri ini.

Hasryman Osman yang tampil sebagai Spiderman ini berkata, dia tampil dengan kelainan sebegitu sebagai simbolik kepada orang ramai bahawa orang yang kuat dan kebal juga perlu divaksin bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, pemberian vaksin itu memberi jaminan bahawa semua orang akan merasa selamat sekiranya diberi vaksin Covid-19.

“Saya dan isteri yang datang hari ini kerana ingin memberi sokongan dan galakan kepada orang ramai supaya mengambil vaksin Covid-19.

“Kita tidak perlu risau kerana vaksin yang disediakan ini akan dapat membantu kita terhindar dari risiko jangkitan yang lebih teruk,” katanya ketika ditemui semalam.

Isterinya yang lengkap dengan kostum Captain Marvel, Siti Fatimah Kamaruddin berkata, dia datang memberi kekuatan semangat kepada suaminya yang agak takut dengan suntikan jarum.

Namun, dia bersyukur biarpun takut tapi suaminya memberanikan diri untuk tampil menjadi adiwira yang divaksin.

Sementara itu, Pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Prof Dr Helen Benedict Lasimbang berkata, ketika ini PPV UMS mampu memberikan sebanyak 3,000 dos vaksin setiap hari.

Bagaimanapun, sekitar 70 peratus sahaja penerima yang hadir ke PPV bagi menerima vaksin. Untuk itu, diharap semua yang dipanggil temu janji melalui aplikasi MySejahtera akan hadir ke PPV mengikut tarikh ditetapkan.