Adakan Semula Pilihan Raya, Beri Mandat Kepada Rakyat – Dr Romzi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pergolakan politik yang melanda negara ketika ini hanya boleh diselesaikan melalui proses pilihan raya, kata Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg.

Beliau berkata, penubuhan kerajaan campuran seperti dikatakan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bukanlah satu langkah penyelesaian tuntas kerana ia masih memperlihatkan ketidakstabilan dalam politik negara.

Katanya, hanya proses pilihan raya sahaja yang boleh menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melihat keperluan berbuat demikian.

Romzi berkata, jika dilihat keadaan semasa, rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap semua ahli-ahli politik, sama ada di pihak kerajaan sebelum ini mahupun pembangkang.

“Sekiranya sekumpulan ahli politik (sedia ada) ini dikumpul dalam satu Kabinet, saya tidak yakin dengan konsep kerajaan campuran yang diwujudkan itu.

”Saya percaya, akan ada saling tikam-menikam di belakang. Jadi, saya tidak yakin perkara ini adalah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekarang.

“Apa yang kita mahukan adalah politik negara kembali stabil dan untuk tujuan itu, pilihan raya wajar diadakan.

“Berikan semula mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa sewajarnya yang memimpin negara,” katanya ketika mengulas mengenai krisis politik yang berlaku di peringkat persekutuan pada masa ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Borneo Today, di pejabatnya di Pusat Penataran Ilmu & Bahasa, UMS, di sini hari ini.

Timbalan Dekan (Penyelidikan & Khidmat Komuniti) Pusat Penataran Ilmu & Bahasa UMS ini berkata, biarpun pilihan raya memerlukan perbelanjaan yang besar namun, ia perlu dilakukan demi kestabilan politik dan ekonomi di negara ini.

Menurutnya, proses pilihan raya akan membolehkan rakyat memilih pemimpin yang betul-betul sesuai untuk menguruskan negara.

“Kita berdepan kemungkinan berbelanja lebih RM500juta untuk pilihan raya tapi pada akhirnya kita dapat memilih wakil rakyat yang boleh bekerja untuk memantapkan semula ekonomi negara.

“Rakyat juga perlu bijak memilih pemimpin yang dirasakan mampu bekerja untuk rakyat. Jangan pilih pemimpin yang mementingkan diri.

“Keadaan yang berlaku sekarang bermula apabila ada ahli-ahli politik yang diumpamakan ‘Diberi betis, mahu paha’ iaitu sudah ada kuasa tetapi mahu lebih berkuasa. Keadaan sebegini tidak sewajarnya berlaku,” katanya.

Tambahnya, apa yang diperlukan sekarang adalah barisan Kabinet yang betul-betul bekerja untuk rakyat demi memperbaiki ekonomi dan mengurus negara dengan sebaiknya.

Romzi berkata, jika dilihat keadaan ekonomi semasa, negara berdepan kerugian RM43 bilion dan sekiranya krisis politik ini berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi, kerugian yang dialami akan bertambah besar.

Mengulas lanjut, beliau melihat keadaan sekarang ini amat membimbangkan rakyat.

Katanya, krisis yang berlaku perlu segera diselesaikan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap pemimpin politik negara.

“Kalau bukan 100 peratus, saya boleh katakan 80 peratus rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap mana-mana ahli politik yang ada sekarang.

“Saya juga menasihatkan ahli politik suapaya tidak perlu terlalu menabur janji kerana akhirnya ia bergantung kepada keadaan ekonomi negara.

“Ahli politik hanya perlu fokus kepada tugas untuk mengurus negara.

“Jika ada pilihan raya, ahli politik hanya perlu berjanji berusaha sebaik mungkin menguruskan negara. Itu sahaja. Jangan berjanji bulan dan bintang.

“Ini masalah ahli politik kita sekarang, mereka suka berjanji. Tapi, harus diingat rakyat Malaysia pada masa kini sudah lebih matang, tidak semestinya anda berjanji bulan dan bintang, rakyat akan mengundi.

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah keupayaan anda untuk mengurus negara,” jelasnya.