
Oleh JUNZ WONG
KOMEN: Parti Warisan Sabah dan saya mengambil berat terhadap pendedahan yang terkandung dalam surat tawaran yang telah kami terima. Surat itu menunjukkan bahawa kerajaan Sabah telah memeterai perjanjian pembalakan yang berat sebelah.
Berdasar kepada surat itu, Yayasan Sabah telah menganugerahkan konsesi “pembalakan helikopter” yang sangat lumayan kepada syarikat swasta, (nama dipadamkan) pada 5 Julai 2013.
Konsesi ini adalah untuk kawasan curam dalam konsesi Yayasan Sabah di Rizab Hutan Gunung Rara/Kalabakan.
Pemegang saham majoriti ialah (nama dipadamkan).
Siapa dia (nama dipadamkan)? Mengapakah syarikat yang dikendalikannya diberikan perjanjian yang begitu menguntungkan dengan bayaran RM65.00 setiap meter padu (m3) kayu?
Bukan itu sahaja, syarikatnya juga diberi keistimewaan dengan dilantik sebagai pembeli eksklusif untuk kayu balak yang dikeluarkan dari kawasan pembalakan helikopter berkenaan.
Harga kayu yang didagangkan secara FOB antara tahun 2013 adalah: –
Meranti SQ : USD275 – 295 / m3
Kapur SQ : USD340 – 365 / m3
Keruing SQ : USD280 – 300 / m3
Selangan Batu biasa : USD510 – 535 / m3
Oleh kerana dalam kontrak tidak dinyatakan apa jenis kayu yang termasuk dalam konsesi, kita hanya boleh menganggap bahawa ia meliputi semua jenis kayu.
Jumlah pengeluaran balak yang dijangkakan, dianggar sekitar 20,000-25,000 / m3 sebulan.
Anggaran pendapatan: –
25,000m3 x USD300 purata (bersamaan kira-kira RM1100.00 pada kadar tukaran RM 3.70 kepada USD1 ketika itu) = RM27,750,000
Mengikut pengiraan ini, jumlah anggaran yang dibayar kepada Yayasan Sabah adalah hanya RM1,625,000.
Pertama, kita mahu Musa Aman, sebagai Ketua Menteri untuk mengesahkan atau menafikan kandungan surat tawaran ini bahawa kontrak konsesi balak telah diberikan.

Musa seringkali mendakwa telah menyelamatkan Yayasan Sabah. Sekiranya ini berlaku, kami ingin tahu mengapa perjanjian berat sebelah, seperti rompakan di siang hari, telah termeterai dalam tempoh beliau menjadi Ketua Menteri.
Saya telah dimaklumkan oleh pakar-pakar bahawa pembalakan kawasan curam tidak boleh dijalankan atas sebab mengelak hakisan tanah dan memelihara kawasan tadahan hujan.
Saya juga diberitahu bahawa larangan pembalakan di kawasan curam adalah sebahagian daripada dasar perhutanan.
Pokok-pokok di kawasan curam kebanyakannya hutan dara dan kawasan tadahan hujan.
Musa mesti menjawab perkara berikut:
1. Berapa banyak jumlah kayu yang telah dibalak dari kawasan konsesi ini?
2. Berapa banyak pendapatan yang telah diperolehi oleh Yayasan Sabah secara keseluruhan?
3. Apakah yang telah terjadi kepada kawasan tadahan hujan?
4. Sejauh mana teruk hakisan tanah berlaku setelah kawasan-kawasan curam ini dibalak?
5. Bagaimanakah pembalakan ini menjejaskan hidupan liar?
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia hendaklah dengan segera memulakan penyiasatan ke atas semua pihak yang terlibat untuk memastikan sama ada terdapat atau tidak sebarang percanggahan dalam perjanjian berat sebelah ini.
• Junz Wong adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Likas/Naib Presiden Parti Warisan Sabah