Adakah Berkumpul Di Mana-Mana Tempat Dikira Berhimpun Dalam Definisi Polis

1500

KOTA KINABALU: Bersih Sabah melahirkan rasa kesal kepada pihak polis kerana gagal melaksanakan tugas mereka selaku penjaga kepada hak rakyat untuk berhimpun sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebutkan bahawa setiap warganegara bebas untuk berhimpun secara aman.

Pada 20 Oktober yang lepas, Shafie Apdal (DSSA) telah direman oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu berhubung siasatan penyelewengan dana kerajaan pusat untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Sehubungan itu, penyokong DSSA telah berkumpul di perkarangan mahkamah tersebut bagi menunggu ketibaan DSSA yang bakal menghadapi pendengaran reman di kamar mahkamah.

Malangnya, selepas daripada itu pihak IPD Karamunsing telah memanggil beberapa pemimpin daripada Parti Warisan Anak Sabah(WARISAN) dan Parti Keadilan Rakyat Sabah(PKR) di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman(APA) 2012.

Pihak kami ingin mempersoalkan apakah rasionalnya pihak polis menggunakan APA 2012 untuk memanggil beberapa pimpinan daripada WARISAN dan PKR yang hanya menunggu ketibaan DSSA daripada hospital ke kamar mahkamah?

Adakah berkumpul dimana-mana tempat di Sabah sekarang ini sudah dikira sebagai berhimpun dalam definisi pihak polis?

Bagi pihak Bersih Sabah, jelas tindakan pihak polis menggunakan APA2012 adlah sebagai satu bentuk intimidasi kepada rakyat Sabah dan merupakan tindakan yang tidak meraikan demokrasi serta tidak menghormati Perkara 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Artikel 21 ICCPR(International Covenant on Civil and Political Rights).

Bersih Sabah sekali lagi menggesa agar pihak polis Kota Kinabalu tidak menggunakan APA 2012 sewenang-wenangnya dan memberikan kebebasan rakyat Sabah untuk mengamalkan hak mereka untuk berhimpun dalam negara ini.

Sekretariat Bersih Sabah