Ada Perbincangan Untuk Yang Lompat Kembali Kepada UMNO – Bung

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Wujud perbincangan untuk wakil rakyat UMNO yang meninggalkan parti itu selepas pilihan raya 2018 untuk kembali kepada UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun belum ada keputusan dibuat.

Demikian diakui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sidang akhbar hari ini.

Wakil-wakil rakyat berkenaan sebelum ini telah menyertai Warisan, tetapi melompat sekali lagi menyokong Tan Sri Musa Aman yang cuba menggulingkan Kerajaan Sabah secara tidak demokratik.

“Well, perbincangan ada tetapi belum dapat diputuskan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan sama ada bekas pemimpin UMNO itu akan kembali kepada UMNO.

Selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum 2018, tujuh wakil rakyat UMNO yang menang menyatakan sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan), namun sekali lagi berpaling tadah menyokong Musa baru-baru ini.

Pemimpin-pemimpin berkenaan ialah Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Hamisa Samad (Tanjung Batu), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Muis Picho (Sebatik) dan Jamawi Jaafar (Kemabong).

Sementara itu, Bung berkata, UMNO bersedia meletakkan sekurang-kurangnya 85 peratus muka baharu dalam PRN Sabah.

“Saya rasa 85 ke 90 peratus, untuk UMNO sahaja,” katanya.

Bung yang turut mengesahkan bertanding di kerusi DUN Lamag berkata, dirinya juga berpotensi untuk menjadi calon Ketua Menteri jika BN menang dalam PRN itu.