Abu Sayyaf Masih Cuba Menceroboh Sabah Untuk Melakukan Penculikan

2775

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dilanjutkan sehingga 11 Jan depan berkuat kuasa hari ini (Dis 26, 2018).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, dan Beluran.

“Dengan berkuat kuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan terbabit dikehendaki berada dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Omar berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong melawat pulau peranginan.

Gambar Hiasan

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZone.

Omar juga berkata perintah berkurung itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.